Lantik KDEBWM selesaikan isu tapak sampah haram

Sze Han - Foto Bernama
Sze Han - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pengusaha kilang dalam kawasan Majlis Perbandaran Kuala Selangor perlu melantik KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi memastikan sisa industri dilupuskan dengan cara betul di tempat yang berdaftar.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, langkah itu juga diyakini dapat menyelesaikan isu tapak pembuangan sampah haram.

"Selama ini, kita sering menerima aduan longgokan sampah secara haram di banyak kawasan dan kita mendapati kebanyakan sampah tersebut terdiri daripada sisa binaan dan industri.

"Agak sukar mengesan punca atau dari mana sampah tersebut dan kita percaya sampah-sampah ini tidak dihantar ke tapak pelupusan disediakan," katanya ketika sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Isnin.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Idris Ahmad (Ijok-PKR) mengenai perusahaan di kawasan perindustrian Ijok yang diwajibkan menandatangani perjanjian dengan KDEBWM untuk menguruskan sisa sampah industri sebagai syarat untuk mendapat lesen beroperasi.

Dalam pada itu, Sze Han berkata, KDEBWM merupakan anak syarikat kerajaan negeri yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan kebersihan di negeri berkenaan terpelihara.

"Jadi, dengan lantikan KDEB untuk mengurus sisa industri ini, masalah sampah tidak dihantar ke tapak pelupusan tidak akan berlaku dan segala kegiatan penghantaran sampah akan dapat dipantau pada setiap masa," katanya.

Sze Han menambah, lantikan anak syarikat kerajaan negeri itu juga bukan sebagai hukuman kepada pengusaha kilang sebaliknya untuk memastikan sampah di premis dilupuskan di tempat yang betul.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!