MITI pastikan hubungan perdagangan, pelaburan kukuh dengan Vietnam
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) komited untuk memastikan ekosistem perniagaannya semakin berkembang kukuh di samping mengeratkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan yang sedia teguh di antara Malaysia dan Vietnam.
Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebagai pelabur asing kesembilan terbesar, kehadiran Malaysia di Vietnam merupakan trajektori positif untuk perdagangan dua hala dipertingkatkan manakala hubungan pelaburan jelas akan ditempa, menjadikan Vietnam destinasi pelaburan penting khususnya dalam utiliti, pembuatan dan pembangunan hartanah.
"Satu kebanggaan untuk melihat syarikat terkemuka Malaysia melabur dan beroperasi dalam menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi dengan cara menyediakan pekerjaan kepada rakyat Vietnam, di samping memanfaatkan peluang luas untuk bersaing di peringkat global.
"Walaupun Covid-19 telah menjejaskan prestasi perdagangan dan perniagaan, namun, memandangkan vaksinasi lengkap populasi dewasa mencatatkan peratusan yang tinggi, kedua-dua negara bersedia untuk peralihan ke fasa endemik dengan sempadan antarabangsa dibuka,” katanya menerusi catatan di laman Twitter.
Beliau bersama-sama Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Sesi Temu Mesra Perniagaan dengan tiga peneraju industri Vietnam di Hanoi pada Ahad.
Mohamed Azmin berkata, perdagangan akan menjadi lebih lancar manakala gangguan terhadap rantaian bekalan dikurangkan.
"Ini ditambah pula dengan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang akan dikuatkuasakan. Saya juga amat menggalakkan komuniti perniagaan di sini (Vietnam) supaya memanfaatkan peluang akses pasaran diperluas yang ditawarkan kerana ia juga akan menyediakan penyumberan bahan mentah dalam rantau ini pada kos yang kompetitif selain memperkukuh lagi penyepaduan rantaian bekalan,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhan, sesi itu mewujudkan pertukaran pandangan yang sangat baik dengan mendengar perspektif jujur dan berterus terang selain terdapat merit dalam beberapa cadangan membina yang akan diteliti oleh MITI.
"Perniagaan Vietnam gembira susulan sempadan antarabangsa antara Vietnam dan Malaysia dibuka semula, kerana ini akan membantu mempercepat pemulihan ekonomi dan menautkan kembali hubungan antara warga selepas dua tahun ia ditutup.
"Bual bicara itu tertumpu kepada sektor pembinaan, penerbangan dan automotif yang disokong oleh tarikan yang dimiliki kedua-dua negara antara satu sama lain, daripada perdagangan dan pelaburan sehingga kepada pelancongan dan pertukaran budaya,” katanya.
Mohamed Azmin berkata, sudah pasti yang perlu diberi perhatian adalah banyak syarikat Vietnam, termasuk ketiga-tiga syarikat peneraju itu, menggaji sejumlah besar rakyat Malaysia di peringkat kakitangan dan pengurusan, dengan kebanyakan rakyat Malaysia menganggap Vietnam sebagai rumah kedua mereka.
"Amat menarik apabila mendengar GAMI Group berminat untuk meneruskan kerjasama dengan syarikat Malaysia dalam projek kenderaan elektrik (EV) di samping VietJet bersedia untuk terbang ke Kuala Lumpur, malah akan menyambung semula perkhidmatan bagi laluan mereka antara Vietnam dan Malaysia mulai 1 April, 2022.
"Hoa Binh Construction Group, pula khususnya, sangat menyokong dan menerima untuk menerapkan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam operasi perniagaan dan rancangan pembangunan hartanah mereka,” katanya.
Beliau berkata, hubungan tersebut amat menepati Aspirasi Pelaburan Nasional Malaysia yang meletakkan ESG sebagai antara tonggak terasnya.
Sesi perniagaan itu turut menekankan kepentingan bukan sahaja untuk mengekalkan malah mempertingkatkan hubungan perdagangan dengan Vietnam tetapi mengambil kira potensi besar yang menanti untuk dimanfaatkan, serta hubungan sosial dan budaya yang lebih erat boleh dijalinkan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!