Saya tiada masalah dengan Safiq: Faisal

Faisal Halim
Faisal Halim
A
A
A

PEMAIN sayap lincah Terengganu FC (TFC), Faisal Halim tidak mempunyai masalah dengan perancang tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim sejak menjalani kem latihan pusat Harimau Malaya minggu lalu.

Faisal berkata, dia sudah melupakan insiden dihantuk kepala oleh Safiq dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 26 November tahun lalu.

“Saya dengan Safiq Rahim tiada masalah untuk bermain dalam satu pasukan. Kadang-kadang saya bermain di sebelah kanan, dia pun bermain di bahagian tengah (dalam) satu pasukan.

“Saya minta bola, dia tetap bagi pada saya. Safiq sememangnya orang baik, cuma biasalah ‘orang tua’, dia suka marah-marah. Sebenarnya bagi saya Safiq profesional.

“Saya pun tak ada nak bawa kes-kes yang lepas sampai ke sini, dia ok saya pun ok. Semuanya dah selesai,” katanya ditemui pemberita ketika sesi latihan Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Isnin.

Dalam pada itu, Faisal turut 'membongkar' peraturan yang ditetapkan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon sepanjang menjalani sesi latihan kali ini dalam usaha membentuk barisan pemain yang lebih berdisiplin.

Menurut Faisal, setiap pemain sudah dimaklumkan mengenai senarai denda yang boleh dikenakan ke atas mereka sekiranya melanggar peraturan yang ditetapkan jurulatih dari Korea Selatan itu.

“Sebenarnya dalam senarai itu memang banyak. Contoh, kita salah pakai kasut waktu pergi latihan pun ada denda mungkin dalam RM100 atau RM50. Kalau hari perlawanan, kita tak boleh main telefon.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya mungkin ada yang kali pertama berdepan dengan peraturan tersebut tapi sebenarnya di Malaysia pun pernah ada peraturan seperti itu sebelum ini yang mana salah pakai kasut atau lambat kena denda.

“Tapi kita sebagai pemain kita kena terima dengan peraturan tersebut. Sebab kita dalam kem pasukan kebangsaan, bukannya di peringkat sekolah,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!