Dua stor diserbu, arak seludup dirampas

Suspek bersama rokok dan arak tidak bercukai yang dirampas di lokasi pertama.
Suspek bersama rokok dan arak tidak bercukai yang dirampas di lokasi pertama.
A
A
A

MUAR - Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam merampas sebanyak 8,035 karton rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai RM1.81 juta melalui dua serbuan berasingan di daerah ini pada Ahad.

Pasukan berkenaan turut merampas sebanyak lapan kotak dan 53 karton arak tidak bercukai bernilai kira-kira RM37,500.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Superintendan Dimin Awang berkata, operasi dilakukan hasil makluman dan risikan di dua unit rumah di Taman Sari Cempaka serta Taman Aman di sini.

“Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun tahan di sebuah rumah di Taman Sari Cempaka ketika sedang memuatkan beberapa kotak dipercayai mengandungi rokok seludup dalam sebuah kereta Mazda CX5.

“Hasil pemeriksaan dalam rumah yang dipercayai dijadikan stor simpanan itu menemui kira-kira 4,985 karton rokok dan lapan kotak arak tidak bercukai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Dimin memberitahu, soal siasat terhadap suspek membawa kepada serbuan di lokasi kedua dan menemui sebanyak 3,050 karton rokok dan 53 arak.

“Hasil siasatan awal, polis percaya suspek aktif membekalkan rokok dan arak tidak bercukai di sekitar daerah Muar selain menjadikan rumah tersebut sebagai stor penyimpanan.

“Kita juga percaya sindiket ini beroperasi sejak setahun lalu. Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!