Dua RUU dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR - Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022, yang antara lain bertujuan mengadakan peruntukan ketidakpakaian Perkara 119 kepada Raja-raja berhubung pendaftaran pemilih, dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin.
Rang Undang-undang bagi meminda Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu bertujuan memasukkan Perkara baharu 119A yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh dengan persetujuan Majlis Raja-raja menetapkan suatu pengecualian kepada mana-mana Raja dan isterinya, Yang Dipertua Negeri dan isteri, bakal raja, waris ganti dan waris lain Raja dan isteri mereka daripada pemakaian Perkara 119 berhubung pendaftaran pemilih.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika membentangkan rang undang-undang itu pada Isnin berkata, bacaan kali kedua akan dibuat pada persidangan ini.
Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 antara lain menghendaki seseorang warganegara yang mencapai umur 18 tahun dan layak untuk mengundi didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
Usia minimum mengundi rakyat Malaysia direndahkan kepada 18 tahun berbanding 21 sebelum ini, selepas Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 dan seterusnya oleh Dewan Negara pada 25 Julai 2019.
Turut dibentangkan untuk bacaan kali pertama ialah Rang Undang-undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022 untuk meminda Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) bertujuan memasukkan seksyen baharu iaitu Seksyen 28A yang memberi menteri kuasa untuk menetapkan melalui peraturan kesalahan yang boleh dikompaun dan kaedah serta tatacara bagi mengkompaun kesalahan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah ketika membentangkan Rang Undang-undang itu berkata, bacaan kali kedua akan turut dilakukan pada persidangan ini.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!