Prestasi Kedah 2035 dinilai pertengahan tahun depan

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Prestasi pelaksanaan Pelan Pembangunan Kedah 2035 hanya dapat dinilai selepas tempoh fasa pertama iaitu pertengahan tahun 2023.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bagi tempoh setahun pelaksanaannya, prestasi pembangunan Kedah 2035 amat membanggakan dan berada pada landasan betul di saat negara dan dunia masih berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Menurutnya, kerajaan negeri yakin pelan pembangunan Kedah 2035 bakal menjadikan Kedah sebuah negeri yang mampu mensejahterakan rakyat dengan menawarkan keperluan asas, peluang ekonomi terbuka, bidang pendidikan serta kelestarian alam semula jadi.

“Sebahagian inisiatif ditetapkan berada di landasan baik. Beberapa sasaran seperti jumlah pelaburan tahunan yang ditetapkan RM10 bilion berjaya dicapai pada tahun pertama pelaksanaan.

"Kedah berjaya catat pelaburan diluluskan sebanyak RM57.1 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2021,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jitra) berhubung prestasi Kedah 2035 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, pada Isnin.

Menurut Muhammad Sanusi, kerajaan negeri akan berusaha mengekalkan jumlah pelaburan yang masuk ke Kedah dan memastikan RM10 bilion setahun sebagai penanda aras bagi tahun-tahun berikutnya.

“Contohnya, Syarikat AT&S yang melabur RM8.5 bilion dan Risen Energy Co. Ltd sebanyak RM42.2 bilion melalui Syarikat Risen Solar Technology Sdn Bhd.

“Pelaburan bukan boleh dapat kesan segera, bak kata Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak (bekas Menteri Besar Kedah), nak buat tapai pun dua malam baru siap. Inikan pula pelaburan yang ambil masa bertahun-tahun,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, antara kesan segera yang dinikmati rakyat Kedah ialah AT&S merekrut 200 pekerja tempatan, selain 5,000 pekerja di tapak pembinaan kilang terbabit yang sedang dibangunkan.

“Dalam tempoh beberapa tahun selepas beroperasi, nilai pelaburan dijangka meningkat selain memerlukan pekerja berkemahiran seramai 5,000 yang bakal diisi anak tempatan,” katanya lagi.

Muhammad Sanusi memaklumkan, pembangunan Special Border Economic Zone (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila Syarikat Northem Gateway Sdn Bhd (NGSB), anak Syarikat MOF Inc. berjaya membawa masuk pelaburan hartanah bernilai RM7.2 bilion menerusi tiga projek pembangunan.

“Ia disokong dengan kemudahan infrastruktur sokongan projek impak tinggi apabila Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) baharu di Kubang Pasu bagi menyokong pembangunan SBEZ,” katanya.

Menurut beliau lagi, kerja-kerja tanah dan infrastruktur Fasa Satu projek Kedah Rubber City (KRC) yang merupakan ‘rubber-belt’ kawasan sempadan Malaysia-Thailand telah selesai disiapkan dan bersedia menerima kemasukan pelaburan RM3 bilion melalui dua projek pelaburan.

“Fasa Dua dijadual diteruskan pada tahun depan. Sehingga tahun 2025, KRC dianggarkan dapat menarik pelaburan baharu bernilai RM10 bilion,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, prestasi lain yang dicapai termasuk membangunkan sistem permit ekspres pembinaan E10 yang membantu pelabur memulakan operasi di Kulim dalam tempoh 10 bulan bermula dari tarikh permohonan Kebenaran Merancang.

“Kita akan menetapkan satu pelan pembangunan yang menjadi petunjuk ke arah pembangunan holistik kepada seluruh rakyat dan akan diperkasakan setiap masa, tanpa perlu dicabar atau dihentikan. Ini kerana, hasilnya telah pun dapat dilihat walaupun pelaksanaannya setahun jagung,” ujar beliau.

Menurutnya, prestasi Kedah 2035 akan dipantau dan ditambah baik agar setiap inisiatif yang dirancang realistik serta menepati sasaran.

“Keperluan bagi mengisi peluang pekerjaan yang diwujudkan melalui pelaburan sama ada dari Iuar (FDI) atau dalam negara memerlukan kita fokus kepada pembangunan modal insan dan bakat. Oleh itu, kita akan wujudkan Institusi Teknikal Negeri yang tawar peluang pendidikan Sains dan Teknikal dalam menghasilkan bakat yang diperlukan industri.

“Satu agensi tidak dapat menjadi ‘champion’ dalam melaksanakan inisiatif, satu kolaboratif diperlukan bagi memastikan inisiatif itu dapat dilaksanakan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!