Pindaan RUU Kerja tetapkan cuti paterniti tujuh hari

 Awang
Awang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Kerja (Pindaan) 2021 yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat memperuntukkan cuti paterniti selama tujuh hari bagi pekerja lelaki yang berkahwin.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, pindaan Fasal 23 dicadangkan untuk memanjangkan tempoh cuti paterniti daripada tiga hari kepada tujuh hari.

"Cadangan ini bertujuan untuk memberi ruang kepada pekerja lelaki yang isterinya bersalin supaya dapat menguruskan kelahiran anak dalam tempoh yang mencukupi.

"Cadangan ini juga selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian SR.5.4.2 yang menekankan konsep `mengutamakan keluarga'.

"Melalui pindaan ini, pekerja lelaki sektor swasta akan turut menikmati faedah yang sama seperti penjawat awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua bagi membolehkan perbahasan diadakan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Mengulas lanjut Awang menjelaskan, peruntukan cuti paterniti wajar diberi supaya mereka dapat bersama isteri ketika menyambut kelahiran, menjaga isteri dan bayi serta menyelesaikan urusan tertentu seperti pendaftaran anak.

“Perkara ini amat penting untuk menenangkan emosi isteri yang masih belum stabil, selain peranan yang dimainkan sebagai suami atau bapa yang bertanggungjawab untuk menjaga keluarga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!