Selangor cadangan bawa usul tambah kerusi DUN: Amirudin

Amirudin semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Yang Ke-14 Tahun 2022 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, pada Isnin. - Foto Bernama
Amirudin semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Yang Ke-14 Tahun 2022 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor bercadang untuk membawa usul menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada persidangan yang akan datang, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin berkata, langkah berkenaan akan dilaksanakan kerana terdapat DUN yang mempunyai jumlah pengundi melebihi 75,000 sehingga 100,000 bagi sesebuah kerusi.

Katanya lagi, cadangan pertambahan kerusi ini juga bagi mewujudkan keseimbangan dalam kalangan jumlah pengundi di kawasan bandar dan luar bandar, supaya perkhidmatan yang diberi oleh wakilnya dapat dilaksanakan secara adil.

"Setakat ini ada (DUN) yang lebih 75,000 pengundi akan menjadi tumpuan, dan mungkin akan kita gabungkan. Ada dua ke tiga DUN pengundi cecah lebih 100,000. Paling banyak adalah DUN Kinrara 118,000 pengundi. Namun untuk tambah kerusi ini, kena ada persefahaman dahulu sebab bukan mudah-mudah boleh tambah kerusi.

"Perkara itu kena lihat pada kesan gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), elaun dan pencen. Ini semua perlu mendapat pertimbangan sebab itu secara realistiknya kita boleh buat dalam tempoh tiga bulan paling awal,” katanya pada pemberita di lobi Dewan Annexx Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor selepas penangguhan DUN Selangor, pada Isnin.

Amirudin berkata, satu taklimat berhubung cadangan penambahan kerusi DUN itu akan diadakan antara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan ADUN Selangor pada 30 Mac ini.

"Selepas itu akan ada satu tahap (perbincangan) lagi iaitu satu jawatankuasa bersama antara SPR dan kerajaan negeri, bagi melihat cadangan kedua-dua belah pihak sebelum dibawa pada sidang DUN akan datang, yang memerlukan kita mendapat sokongan dua pertiga majoriti untuk dibawa ke Dewan Rakyat,” katanya.

Amirudin mengiyakan ketika ditanya mengenai usul pertambahan kerusi DUN itu sebagai persediaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15, namun ia bergantung pada tempoh masa yang diambil bagi proses tersebut.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, ketika ucapan penangguhan di akhir persidangan DUN hari ini, Amirudin menyenarai DUN yang dijangka mengalami perubahan kerusi antaranya Batang Kali; Gombak Setia; Teratai; Semenyih; Kajang; Balakong; Sungai Ramal; Seri Serdang; Kinrara; Subang Jaya; Seri Setia; Bukit Lanjan; Kota Damansara; Kota Anggerik; Bandar Baru Klang; Pandamaran; Sentosa; Sungai Kandis; Kota Kemuning dan Dengkil.

Katanya, usul tersebut dibawa susulan pertemuan Amirudin bersama SPR Selangor sebelum ini, yang memaklumkan setakat hari ini, seramai 3.66 juta pengundi berdaftar di Selangor.

"Melihat pada pertambahan pengundi pada tiap bulan, dengan perkadaran pendaftaran automatik seramai lebih 89,000 pengundi, bermakna dalam tempoh 12 bulan dari sekarang, jumlah pengundi di Selangor akan mencecah lebih kurang 4.6 juta,” katanya.

Sidang DUN Selangor ditangguhkan ke satu masa yang akan dimaklumkan kelak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!