Kempen rasmi Pemilihan PKR 2022 hanya bermula 8 April
KUALA LUMPUR - Kempen secara rasmi Pemilihan PKR 2022 hanya akan bermula selepas penamaan calon yang dijadualkan pada 8 April ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa.
Justeru Zaliha dalam kenyataan pada Isninmengingatkan, JPP akan memantau rapat sebarang bentuk kempen kepada semua calon tanpa prejudis dan akan bertindak mengikut Peraturan dan Tatacara Pemilihan serta Tataetika Kempen.
Menurut Zaliha, memandangkan kini sudah ada penyokong sibuk mempromosikan pimpinan pilihan masing-masing dalam pelbagai cara dan pelbagai platform media, JPP tidak bertanggungjawab terhadap kempen yang telah bermula pada masa kini.
"Bakal-bakal calon dan penyokong masing-masing juga perlu menjaga tatasusila, mengelak dari kempen yang tidak beretika, seperti menyelar peribadi calon atau mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya.
Pemilihan PKR 2022 yang akan diadakan pada 13 hingga 18 Mei ini, kini dalam fasa pertama proses pemilihan dan anggota parti digalakkan untuk memuat turun Aplikasi ADIL yang telah pun dilancarkan pada 4 Mac lepas.
Ahli juga diminta mengemas kini daftar keanggotaan serta memberi persetujuan untuk menjadi Pemilih Atas Talian (PAT). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!