Gesa peranan wanita diiktiraf dalam pentadbiran negara
KUALA LUMPUR - Beberapa Ahli Dewan Negara pada Isnin menyuarakan agar kerajaan memartabatkan serta mengiktiraf komposisi 30 peratus golongan wanita dalam penglibatan urusan pentadbiran dan pembangunan negara.
Ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Negara di sini pada Isnin, Senator Fadhlina Sidek berkata, keperluan pembabitan golongan berkenaan seharusnya dimulakan di dalam Dewan Negara.
"Seperti saya pernah sebut sebelum ini, Dewan Negara masih gagal menterjemahkan komposisi 30 peratus wanita dalam Dewan Negara ini. Perkara 45 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan ada keperluan pelantikan Ahli Dewan Negara, merujuk kepada kelayakan tertentu.
"Takkanlah tidak ada wanita yang telah memberikan perkhidmatan awam cemerlang. Takkanlah tidak ada wanita capai keunggulan dalam profesion kebudayaan perkhidmatan sosial dan mewakili ras komuniti.
"Maka, perkara ini mesti segera direalisasikan dan Dewan ini seharusnya menjadi perintis bahawa komposisi 30 peratus golongan wanita ini, harus bermula daripada Dewan ini,” katanya.
Senada dengan Fadhlina, Senator Datuk Seri Zurainah Musa pula berkata, kompisisi lembaga pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang disenarai awam, harus terdiri daripada 30 peratus wanita menjelang tahun hadapan.
Beliau mencadangkan agensi kerajaan yang bertanggungjawab, untuk menyediakan data bilangan wanita yang menerima manfaat daripada dasar itu, melalui pengumuman awam secara berkala.
"Wanita boleh berdiri kukuh, sama dengan kaum lelaki. Jurang antara jantina tidak harus wujud sama ada dalam bidang kepimpinan, politik malah sebagai pembuat kuasa atau keputusan,” katanya.
Seiring tema Hari Wanita Antarabangsa 2022 ‘Saksama Bersama dan Agenda Kelestarian Pembangunan 2030’, Senator Noraini Idris menyarankan kepada persidangan berkenaan menambah satu lagi jawatan iaitu Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, dimandatkan kepada Senator dalam kalangan wanita.
"Saya merasakan tiba masanya Dewan Negara diberikan lonjakan baharu dalam aspek kesaksamaan gender, dalam representasi Dewan Negara sebagai pentas legislatif tertinggi di Parlimen Malaysia.
"Seperti dihasratkan bersama rakyat yang semakin peka terhadap perihal martabat Parlimen politik Malaysia pasca Pilihan Raya Umum Ke-14, sewajarnya disuntik dengan rencana lebih progrseif yang mampu mengangkat peranan wanita, sebagai pendokong demokrasi negara di Parlimen,” katanya.
Sementara itu sebelum memulakan perbahasan, Senator Mohd Apandi Mohamad mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac lepas, dan beliau turut menyokong penglibatan 30 peratus wanita dalam sektor pembuat dasar negara.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!