Kandang terbakar, pesara rugi hampir RM50,000

Badrishah merenung keadaan kandang ternakannya yang terbakar hingga mengakibatkan 35 ekor kambing mati dalam kejadian di Dataran Pengkalan Barat 16, Taman Temara, Ipoh pada Ahad.
Badrishah merenung keadaan kandang ternakannya yang terbakar hingga mengakibatkan 35 ekor kambing mati dalam kejadian di Dataran Pengkalan Barat 16, Taman Temara, Ipoh pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Seorang pesara mengalami kerugian hampir RM50,000 selepas 35 kambing ternakannya mati dalam kebakaran membabitkan sebuah kandang di Dataran Pengkalan Barat 16, Taman Temara di sini pada Ahad.

Dalam kejadian sekitar jam 11.30 malam itu, hanya 26 kambing berjaya diselamatkan termasuk enam yang telah ditempah bagi tujuan ibadah akikah.

Penternak, Badrishah Zamzuri, 60, berkata, tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal keadaan api daripada marak dan memusnahkan keseluruhan kandang berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian, dia cuba masuk dalam kandang untuk membuka pintu kandang bagi menyelamatkan semua haiwan itu, namun tidak berjaya kerana keadaan api yang marak.

"Sedih memang sedih tetapi apa boleh buat kejadian sudah pun berlaku.

"Saya tetap bersyukur sekurang-kurangnya masih ada kambing yang terselamat, lagi-lagi kambing yang telah ditempah untuk akikah kerana ada sebahagiannya telah pun dibayar oleh pembeli.

"Enam kambing akikah ini terselamat bersama 20 kambing yang lain kerana bomba tiba awal bagi memadam kebakaran," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Isnin.

Beliau berkata, selama tujuh tahun mengusahakan ternakan kambing, ini kejadian pertama melibatkan kebakaran dan kerugian yang besar.

Artikel Berkaitan:

Pihaknya menolak sebarang unsur khianat dan mengesyaki kejadian berpunca daripada unggun api yang memang dipasang dalam kandang kerana ternakan berkenaan memerlukan haba pada waktu malam.

"Sejak tujuh tahun lalu, memang saya akan pasang unggun api, tidak sangka pula kali ini berlaku kejadian ini.

"Kebetulan pula malam kejadian angin sangat kuat, mungkin itu yang menyebabkan api jadi marak," katanya.

Beliau berkata, semua bangkai kambing yang mati telah ditanam di kawasan lapang dan baki kambing yang terselamat ditempatkan di sebuah kandang baru bersebelahan.

"Minggu lepas saya baru sahaja membeli tiga kambing baka senen berharga RM1,600 bagi tujuan pembiakan, itu pun turut mati dalam kebakaran ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!