'Kail ikan puyu bukan petanda rakyat Kedah miskin'

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Aktiviti memancing ikan puyu yang dilakukan rakyat Kedah tidak boleh dianggap sebagai indikator kemiskinan kerana aktiviti itu dilakukan sebagai hobi secara turun-temurun.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, aktiviti mengail ikan kerap dilakukan di kawasan tali air dan sawah padi sejak dahulu lagi kerana ia aktiviti kegemaran ramai, terutama penduduk kampung.

Menurutnya, kemungkinan pemimpin yang lahir dalam keluarga mewah tidak dapat menghayati kehidupan tradisi rakyat Kedah yang menjadikan aktiviti mengail puyu sebagai aktiviti keluarga.

"Mengail ikan puyu bukan perkara baharu, sejak kecil saya dengan ibu dan ayah mengail puyu untuk dimakan, walaupun ada ikan laut dan udang di rumah, ini hobi kami. Tambahan pula, ikan puyu tidak dijual di pasar, hendak makan kena mengail di parit. Ia bukan petanda rakyat hidup miskin sangat, ini aktiviti orang kampung.

"Saya pun masih memukat ikan, bukan sebab tak ada duit tetapi sebab minat.

"Mungkin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) tidak pernah kail ikan sebab lahir dalam keluarga senang, kami beranak (dilahirkan) dalam kebun getah dan jelapang padi sebab itu kami mengail," katanya ketika perbahasan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Kedah di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Isnin.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mukhriz (Jitra-Pejuang) berkaitan tindakan penduduk yang terpaksa mengail ikan puyu untuk dimakan akibat kesempitan hidup di sebalik pengumuman pelaburan RM68.3 bilion ke Kedah.

Pada sidang media selepas itu, ADUN Jeneri itu tegaskan, indikator kemiskinan perlu dinilai berdasarkan kehidupan rakyat secara terperinci, bukan dikaitkan dengan hobi.

Artikel Berkaitan:

“Kalau nak tahu tahap kemiskinan, lihat terperinci sama ada keluarga itu mampu bayar yuran sekolah atau langsung tidak bertukar pakaian sekolah, pakai kasut sekolah koyak sebab tak ada duit.

“Ada pemilik kereta mewah pun turun bendang pancing puyu, kalau kenal orang Kedah, itulah aktiviti petang penduduk. Kalau yang itu pun tak kenal, susah lah nak jadi ketua untuk rakyat Kedah, dua kali dah jadi menteri besar,” katanya sinis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!