Perak FC bertukar pemilik lagi

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Baru sahaja beberapa bulan dimiliki sebuah syarikat, Perak FC bakal bertukar pemilik lagi apabila dijual kepada pihak lain dalam masa terdekat.

Kelab itu dalam kenyataan menerusi laman Facebook ‘Perak Football Club’ memaklumkan, Perak FC berada di ambang jualan berpotensi yang mungkin menyaksikan kelab bertukar tangan selepas proses pertukaran milik selesai dalam tempoh seminggu.

Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah turut mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama.

"Pada Disember lepas, Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd memperoleh 100 peratus pegangan dalam Perak FC Sdn Bhd namun pengurusan skuad The Bos Gaurus di bawah IMC mengalami tekanan hebat berikutan krisis kewangan mereka pada Januari lepas.

"Daripada perbincangan dan penilaian awal, IMC berkemungkinan menerima tawaran pihak yang ingin membeli kelab," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, proses berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada cadangan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang akan dimaklumkan dengan sewajarnya mengenai tawaran terbabit.

Kenyataan itu turut menyebut IMC akan melepaskan semua tugas eksekutifnya setelah proses pengambilalihan selesai.

Pada Disember lepas, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengumumkan IMC Sdn Bhd sebagai pemilik baharu Perak FC selepas 100 peratus pegangan saham badan induk bola sepak negeri itu dijual kepada syarikat berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!