SPRM tidak terima laporan salah laku rasuah pada PRN Melaka

Mohd Shahril
Mohd Shahril
A
A
A

MELAKA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka tidak menerima sebarang laporan aktiviti rasuah sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung pada November lalu.

Pengarahnya, Mohd Shahril Che Saad berkata, pihaknya tidak menerima maklumat mahupun laporan daripada mana-mana individu atau parti politik.

"Kita tiada kertas siasatan untuk PRN lalu dan tiada kertas siasatan dibuka.

"Malah kita pun tidak terima maklumat yang boleh menyiasat, kita tidak ada terima," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Jalinan Kerjasama Antara SPRM Melaka Dengan CeiO - Memartabatkan Integriti Dalam Perkhidmatan 2022 di Pejabat SPRM Melaka, Alai di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeiO) Malaysia, Ahmad Sabri Mohamed.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sepanjang tahun lalu SPRM Melaka menahan seramai 17 individu termasuk 12 penjawat awam dipercayai terbabit dengan kesalahan rasuah.

Menurutnya, selain tangkapan, SPRM menerima sebanyak 157 maklumat berkaitan salah laku dalam jabatan dan agensi sebahagiannya disalurkan oleh Pegawai Integriti Bertauliah (CeiO).

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, sebanyak 36 kertas pemeriksaan awal telah dibuka manakala 20 kertas siasatan dibuka SPRM untuk tindakan lanjut.

"Kegiatan rasuah di Melaka hanya membabitkan kes domestik antaranya kes perolehan dan tuntutan palsu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!