Kedah diminta pertimbang usul akta anti lompat parti
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah diminta mempertimbangkan pembentangan usul akta anti lompat parti bagi memastikan kestabilan negeri dikekalkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau menyedari perkara berkenaan telah dibincangkan di Parlimen.
Bagaimanapun, beliau berkata, akta berkenaan tidak diusul, dibawa dan dibentangkan pada sesi Parlimen.
"Saya kira di peringkat negeri pun boleh kita pertimbangkan, kalau kita serius mengenai gejala lompat parti ini sekiranya ia dianggap satu perkara yang memudaratkan.
"Mungkin kerajaan sekarang pun sangat-sangat bimbang kalau berlaku, yang sebelah sana mahu lompat sebelah sini. Jadi akan tumbang kerajaan dan situasi itu tidak akan menstabilkan keadaan," katanya.
Mukhriz berkata sedemikian ketika membahaskan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Selasa.
Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah berharap tidak akan ada lagi isu ahli parti tertentu yang melompat ke parti lain.
"Sudah-sudahlah lompat parti. Kita 'okay' sahaja sekiranya nak biarkan kerajaan sedia ada terus hingga habis penggal seperti dicadangkan ADUN Bayu, Abd Nasir Idris.
"Tidak payah kacau-kacau lagi. Kami di sini (blok pembangkang) ada 13 orang, yang mana kalau lompat pun tidak akan jadi apa. Jadi yang perlu bimbang lompat sebelah sanalah (blok kerajaan)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!