'Anda diperhatikan dalam panggung wayang'
SEREMBAN - "Kami memerhati anda!" Itu peringatan diberi Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman terhadap individu yang sewenang-wenangnya mencuri rakam di dalam panggung wayang.
Menurutnya, bermula 6 Mac lalu pihaknya dengan kerjasama pemilik panggung di negeri ini mengadakan Operasi Hak Cipta KPDNHEP memantau perbuatan berkenaan yang kini menjadi keluhan kepada penggiat industri perfileman dan muzik.
"Pihak KPDNHEP dengar keluhan penggiat seni filem dan muzik, yang karya mereka dicetak rompak. Kegiatan itu menyebabkan mereka kerugian berbilion ringgit.
"Jadi menerusi operasi diadakan, tidak kira siang atau malam, penguat kuasa kita akan ditempatkan di dalam panggung memerhati penonton yang mencuri rakam. Jadi, 'we are watching u'," katanya pada sidang media di sebuah panggung di pasar raya di Kemayan Square, di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam tempoh berkenaan enam pemeriksaan dilakukan di empat panggung wayang di daerah ini melibatkan 18 pegawai, namun belum ada tangkapan.
Katanya, karya seni dicetak rompak sejak 40 tahun lalu dalam pelbagai bentuk fizikal dan elektronik bermula era cakera padat (CD), video cakera padat (VCD) dan cakera Blue Ray.
"Apabila teknologi Internet berkembang, cetak rompak beralih ke dalam bentuk digital melalui laman web, YouTube, Facebook, Instagram dan Twitter untuk menonton, memuat turun lagu dan filem tertentu.
"Hormatilah hasil karya orang sebab mereka berusaha keras nak hasilkan," katanya.
Beliau berkata, Akta Hak Cipta 1987 dipinda pada 2012 dengan memasukkan Bahagian VIA bertajuk Antirakaman Kamera yang mengandungi Seksyen 43A.
"Bagi kesalahan ini, pesalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun. Antara langkah diambil KPDNHEP negeri adalah menguatkuasa peruntukan dan menjalin kerjasama dengan pemilik panggung wayang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!