Desak RUU anti lompat parti dibentang segera

Dari kiri: Mohamed Nazri Aziz, Mohamad Sabu
Dari kiri: Mohamed Nazri Aziz, Mohamad Sabu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rata-rata ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mahu Rang Undang-Undang (RUU) anti lompat parti dibentangkan segera di Dewan Rakyat.

Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) menegaskan, perkara itu perlu disegerakan berikutan rakyat semakin hilang kepercayaan kepada sistem Parlimen dan demokrasi negara serta sesetengah pemimpin terutama yang terlibat ' Langkah Sheraton'.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu dalam gesaannya turut memberi bayangan kemungkinan akan ‘turun ke jalanan’ bersama rakan-rakan lain bagi mendesak RUU itu dibentang dan dibahas.

"Bagi memulihkan keadaan ini dan sistem Parlimen demokrasi, akta anti lompat parti mesti disegerakan. Inilah yang menjadi halangan terbesar jika akta ini tidak diperkenalkan kali ini ataupun dalam sidang khas.

“Saya dan rakan-rakan barangkali akan kembali semula ke jalan raya untuk mendesak sebab kita melihat apa yang kita cakap di Parlimen kadang kala tidak dipedulikan.

"Jangan main-main sebab perkara begitu mendesak. Kalau tidak mahu dengar juga, maka lihatlah negara kita akan berada dalam kegelapan dan sistem Parlimen demokrasi tidak lagi menjadi penghormatan seperti sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2021) 2022 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) turut senada bahawa RUU anti lompat parti perlu dibentangkan segera.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini, saya sokong beliau (Mohamad Sabu) tetapi cuma 80 peratus dan tidak 100 peratus kerana dalam ucapannya dikatakan penyebab kepada ketidakstabilan politik kerana PN (Perikatan Nasional) dan BN (Barisan Nasional).

"Padahal sebenarnya yang tidak stabil hari ini kerana pergaduhan antara mereka, iaitu PH (Pakatan Harapan).

"Akta anti lompat parti mesti dilaksanakan, tidak boleh beri apa-apa alasan untuk menyatakan tidak boleh dilaksanakan kerana ia penting hari ini," katanya.

Mohamed Nazri berkata, beliau difahamkan dalam kalangan jemaah menteri tidak ada persefahaman mengenai RUU anti lompat parti.

"Mereka tidak ada persefahaman dari segi macam mana bentuk RUU ini. Saya kira pandangan mereka tidak dapat kata sepakat.

"Kita harap jangan lagi berlaku lompat melompat di masa akan datang seperti yang dikatakan Kota Raja (Mohamad). Saya sokong dia sebab dia betul. Kita tak boleh melompat-melompat, memalukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!