Covid-19: Kesihatan Abdul Hadi bertambah baik
KUALA TERENGGANU - Tahap kesihatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang disahkan dijangkiti Covid-19 sejak Ahad lalu kini bertambah baik.
Perkembangan itu dikongsikan anaknya, Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika ditemui pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Selasa.
Menurutnya, Abdul Hadi mengalami beberapa gejala seperti demam dan batuk, namun tidak serius dan beransur pulih.
"Malam tadi (Isnin) saya ada hubungi dia dan diberitahu demam semakin baik. Tinggal hanya perlu habiskan tempoh kuarantin sahaja yang dijangka berakhir Khamis ini.
"Beliau kini berehat dan menjalani proses kuarantin di rumah," katanya.
Menurut Muhammad Khalil, bapanya mengalami demam selepas menghadiri majlis perasmian Kompleks Pentadbiran Pas di Kedah baru-baru ini sebelum disahkan dijangkiti Covid-19.
Katanya, walaupun tempoh kuarantin dijangka habis pada Khamis, bapanya perlu berehat terlebih dahulu sebelum menghadiri kuliah dhuha mingguan di Masjid Rusila, Jumaat ini.
Dalam pada itu, katanya, setakat ini hanya Abdul Hadi disahkan dijangkiti Covid-19 dan tidak membabitkan ahli keluarga lain.
Abdul Hadi sebelum ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin serta dos penggalak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!