Dipenjara 4 bulan, denda RM16,000 palsu Petron Miles, Touch'n Go
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dipenjara empat bulan dan didenda RM16,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa kerana memalsukan kad Loyalty Petron Miles dan kad Touch'n Go.
Majistret S Mageswari menjatuhkan hukuman itu terhadap Cheng Chee Chong, 37, selepas beliau mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu dipenjara masing-masing empat bulan dan denda RM8,000, bagaimanapun mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dan jumlah denda berjumlah RM16,000.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan pilihan pertama dan kedua, tertuduh didakwa memalsukan masing-masing 5,200 keping kad Loyalty Petron Miles dan 1,400 keping kad Touch'n Go (watson), yang mana kedua-dua perbuatan itu dengan niat untuk menyebabkan kerugian kepada syarikat Petron dan Touch'n Go.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Jalil Perwira 2, Bukit Jalil di sini, pada 2 petang, 16 Mac lepas, mengikut Seksyen 463 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Chee Chong yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan dengan alasan dia perlu menjaga ibu dan bapanya manakala Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin memohon hukuman penjara yang setimpal, kerana perbuatan tertuduh menyebabkan kerugian besar terhadap kedua-dua syarikat itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!