Isu tuntutan Sabah dibangkitkan dalam persidangan Dewan Negara

Peta Sabah.
Peta Sabah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu berkaitan tuntutan waris Kesultanan Sulu ke atas Sabah dibangkitkan oleh beberapa Senator dalam persidangan Dewan Negara, pada Selasa.

Semasa sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, Senator Datuk Bobbey Suan menggesa agar kerajaan Persekutuan mencari kaedah atau jalan terbaik untuk menyelesaikan perkara itu.

"Ini supaya tiada lagi mana-mana pihak membangkitkan perkara yang sensitif itu pada masa hadapan demi memastikan kesejahteraan generasi akan datang.

"Maka, hanya pihak Persekutuan yang dapat menyelesaikan perkara ini kerana ia membabitkan urusan negara kita,” kata Ahli Dewan Negara dari Sabah itu.

Senator Datuk John Ambrose pula menyifatkan tuntutan mana-mana pihak terhadap Sabah adalah tidak munasabah memandangkan Malaysia melaksanakan pemerintahan efektif dan mentadbir negeri itu sejak ia menyertai Malaysia secara sukarela pada 1963 menerusi hasil dapatan Suruhanjaya Cobbold.

"Malaysia melaksanakan pemerintahan efektif dan mentadbir Sabah serta memperuntukkan dana, merangsang pelaburan dan majukan ekonomi Sabah dengan masyarakat antarabangsa mengakui Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia.

"Malah kerajaan Malaysia menubuhkan pasukan keselamatan yang terdiri daripada polis, tentera dan sistem pendidikan serta menjayakan perkhidmatan kesihatan untuk rakyat Sabah,” katanya.

Sementara itu, Senator Datuk Seri S.Vell Paari meminta kerajaan memanggil bekas peguam negara Tan Sri Tommy Thomas untuk tampil membuat penjelasan berkenaan surat yang dihantar kepada peguam yang mewakili waris Sultan Sulu pada 2019.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang kesal dengan inti pati surat itu menyifatkan ia sebagai penderhakaan kepada negara dan penghinaan kepada anggota tentera dan polis serta waris mereka yang kehilangan insan tercinta semasa mempertahankan kedaulatan negara.

"Akibat daripada tindakan surat itu, ia dijadikan bukti utama dan alasan peguam wakil Kesultanan Sulu kerana surat ini disifatkan sebagai kerajaan Malaysia mengiktiraf tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Sabah.

"Akibat surat ini juga kerajaan Malaysia diarah membayar wang pampasan sekurang-kurangnya RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu, jadi saya nak tahu adakah surat itu mendapat kelulusan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan dan sama ada surat itu ditulis oleh Thomas tanpa dirujuk kepada perdana menteri ketika itu,” katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok (Rabu). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!