Hina Raja Perlis, Mufti: Bekas Exco buat laporan polis
KANGAR - Bekas exco Perlis, Datuk Ahmad Bakri Ali pada Selasa membuat laporan berhubung tindakan seorang lelaki memuat naik hantaran berunsur penghinaan dan tidak beradab menerusi laman Facebook terhadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Ahmad Bakri membuat laporan itu bersama dua rakannya pada 3.17 petang di Balai Polis Kangar.
"Saya terpanggil untuk membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya perkara ini disiasat dan diambil tindakan sewajarnya.
"Seorang pengguna Facebook telah menulis perkataan yang memperlekehkan, menjatuhkan maruah serta memalukan terhadap Raja Perlis dan Jabatan Mufti Negeri Perlis,” katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew berkata, polis telah mengenal pasti lokasi suspek dan sedang mendapatkan bantuan daripada PDRM di sebuah negeri untuk menahan suspek.
"Alamat rumah suspek dan bukti sudah dikenal pasti. Kita akan tangkap suspek dengan segera atau suspek yang akan serah diri sendiri,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan/Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!