Anugerah Sukan Negara 2019/2020 jamin tradisi pengiktirafan tertinggi
KUALA LUMPUR - Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020 yang berlangsung malam ini amat istimewa, biarpun mungkin berbeza dari segi penganjuran demi menjamin tradisi pengiktirafan tertinggi untuk sukan tanah air.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini kerana buat julung kalinya pencapaian gemilang sukan tanah air pada 2019, digabungkan bersama tahun 2020.
"Gabungan pengiktirafan dua tahun ini, jadi bukti terhadap keazaman untuk tidak membenarkan pandemik Covid-19, menghapuskan pengiktirafan terhadap memori pencapaian gemilang yang sudah terhasil,” kata Ahmad Faizal dalam ucapannya pada majlis tersebut di sini.
Majlis gilang gemilang di sebuah bangunan hotel yang memiliki nilai warisan dan sejarah itu, diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, tugasan menanti barisan atlet kebangsaan, tidak kurang getirnya bermula dengan Sukan SEA Vietnam pada Mei, Sukan Komanwel (Julai) dan temasya Sukan Asia yang dijadual pada September.
"Kementerian Belia dan Sukan juga telah memastikan bahawa sektor sukan, dapat beroperasi sepenuhnya dan kegiatan riadah serta kejohanan-kejohanan utama dapat dilangsungkan.
"Meskipun dengan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) ketat, kebenaran pusat-pusat sukan, latihan dan kebenaran penganjuran kejohanan, memberikan nafas lega bukan hanya kepada atlet, malah seluruh rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal percaya dengan sokongan padu Yang di-Pertuan Agong dan seluruh jentera kerajaan serta bantuan dihulurkan pelbagai pihak, barisan atlet negara dibekalkan azam jitu untuk terus melakar kejayaan demi menggemilangkan Keluarga Malaysia.
Sebagai rekod, Majlis Sukan Negara (MSN) memutuskan ASN 2019, akan dianjurkan bersama ASN 2020 berikutan penularan pandemik COVID-19.
ASN 2019/2020 menyaksikan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan atlet wushu kebangsaan, Tan Cheong Min, masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan.
Atlet para memanah, S. Suresh pula dipilih sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan manakala tiada pemenang bagi kategori Olahragawati Paralimpik Kebangsaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!