Melaka tingkat penggunaan jalur lebar
MELAKA TENGAH - Dianggarkan 213,000 unit kediaman di negeri namun hanya 80,567 daripada jumlah itu yang menikmati kemudahan jalur lebar.
Exco Komunikasi Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Kerk Chee Yee berkata, jumlah itu dilihat agak rendah kerana tidak mencapai 50 peratus dan perlu diberikan perhatian kerana angka terbabit masih agak rendah.
Menurutnya, berdasarkan maklumat kira-kira 48,227 iaitu (43.13 peratus) pengguna perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) manakala 32,340 mewakili 48 peratus) pengguna Internet Streamyx.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk meningkatkan dan memperluaskan penggunaan jalur lebar dalam kalangan rakyat ini termasuk memberi penekanan kepada kualiti perkhidmatan yang terbaik melalui kerjasama dengan kementerian berkenan dan syarikat-syarikat telco yang terlibat.
"Dalam tempoh 10 bulan ini kita telah mengadakan pelbagai usaha termasuk mewujudkan sistem rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi dengan kemudahan teknologi gentian optik menerusi projek Pelan Perhubungan Antarabangsa (NCP) di Jasin dengan harga lebih murah.
"Namun banyak faktor yang menyebabkan masih banyak rumah kediaman yang tidak mempunyai perkhidmatan internet termasuk masalah industri," katanya.
Chee Yee berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan Pertama, Penggal Kedua DUN Melaka ke-14, di Seri Negeri, di sini, semalam.
Chee Yee yang juga ADUN Ayer Keroh berkata, walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran bagi peningkatan peratusan itu dalam tempoh lima tahun, namun akan terus melakukan gerak kerja bagi membolehkan lebih ramai pengguna mendapat kemudahan HSSB terutamanya, sekali gus memperluaskan pengaruh teknologi dalam masyarakat.
"Dalam negeri yang mempunyai sasaran untuk menjadi negeri berteknologi tinggi, kita bukan sahaja memerlukan peruntukan kerajaan sahaja, malah memerlukan beberapa benda lain yang akan dapat mengimbangi masyarakat untuk memahami kepentingan komuniti dan mampu memberi kesedaran dan pendidikan supaya dapat wujudkan masyarakat celik IT," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!