Selebriti sudah tidak perlukan media arus perdana?
SABTU lalu, Merak Jalanan terserempak dengan seorang rakan wartawan. Sebagai ‘alumni Covid-19’, secara kebetulan kami membuat pemeriksaan dengan doktor yang sama.
Perbualan tentang Covid-19 terhenti seketika tatkala seorang artis terkenal menyapanya. Selepas figura itu berlalu pergi, topik kawan Merak Jalanan tiba-tiba bertukar. Katanya ramai artis muda sekarang tidak seperti penyanyi tadi yang mudah beri kerjasama dengan wartawan.
Beliau kini berdepan dengan mentaliti selebriti yang bersandarkan kepada media sosial untuk meraih publisiti atau mempromosi ‘produk’ baharu mereka.
“Hal ini mula terjadi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Apabila pergerakan terhad, kita terpaksa menghubungi mereka untuk dapatkan story. Apabila mereka seolah-olah dapat ‘menghidu’ keterdesakan kita untuk dapatkan berita, isu demand mula berlaku.
“Kita bukan tak biasa artis beri alasan itu ini tapi terkejut kita dengar apabila mereka mengatakan tak perlu dah surat-khabar atau media arus perdana kerana pengaruh mereka dengan jutaan pengikut sudah memadai,” luahnya.
Bagi Merak Jalanan, kenyataan ‘tidak memerlukan surat khabar’ itu sangat menjengkelkan. Kemudian, rakan Merak menyebut satu persatu artis yang berpegang kepada prinsip tersebut.
Oh! Rupa-rupanya mereka dalam kategori artis BBNU (Budak-Budak Baru Nak Up) dan terdapat segelintir yang sudah lama tetapi jarang muncul di surat-khabar atau kaca televisyen.
Reaksi Merak Jalanan mudah. Tak perlu gundah-gulana atau terhegeh-hegeh dengan mereka yang tak sudi. Cari sahaja individu lain.
Tidak hanya artis tetapi personaliti dalam bidang lain yang popular di media sosial pun perangai mereka sama.
Baru-baru ini Merak Jalanan terkena. Bayangkan, beberapa jam sebelum rakaman bermula, dengan selamba personaliti, merangkap influencer itu membatalkan penyertaannya, sedangkan segala-galanya sudah diatur!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!