Usul tambah kerusi DUN Selangor hanya bersifat politik

Dari kiri: Rizam, Mohd Imran
Dari kiri: Rizam, Mohd Imran
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menyifatkan cadangan membawa usul menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada persidangan akan datang hanya bermotifkan politik semata-mata bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) terus berkuasa di negeri ini.

Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, kerajaan PH di negeri Selangor mula goyah apabila melihat sendiri gelombang rakyat yang memberikan sokongan dan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, kerajaan Selangor menjangkakan akan berlaku penolakan rakyat terhadap PH terutama pengundi di kawasan luar bandar.

"Mereka (PH) mungkin menyasarkan boleh menang dengan majoriti besar di kawasan bandar, maka usaha (penambahan DUN di kawasan bandar) dilakukan supaya mereka berpeluang mendapat lebih banyak kerusi pada pilihan raya nanti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, usaha persempadanan itu juga dilakukan bagi memastikan mereka dapat terus mempertahankan kerajaan sedia ada.

"Kita yakin sama ada pilihan raya umum atau negeri Selangor pada masa akan datang, rakyat sudah mula celik dan boleh menilai sendiri parti manakah yang mampu memberikan kestabilan masa depan negeri dan negara.

"Rakyat perlu kembali memberi mandat kepada BN yang terbukti mempunyai polisi dan dasar yang diyakini pelabur," ujarnya.

ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri ini adalah lebih baik dilaksanakan di seluruh negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Artikel Berkaitan:

Katanya, parti mana pun yang mendapat mandat sama ada di peringkat negeri mahu pun Parlimen kawasan persempadanan baharu itu seharusnya dikaji semula bagi mewujudkan keseimbangan pada PRU-16 akan datang.

"Keadaan sekarang ini tidak sesuai dibuat persempadanan semula kerana kita tidak mahu bebankan SPR (Suruhannya Pilihan Raya) yang baharu sahaja bergelut dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor selain dengan penambahan pengundi automatik dan pelaksanaan undi 18," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!