Terbuka Switzerland: Pemain negara mula langkah kanan

Kian Meng-Pei Jing memulakan kempen di Basel langkah kanan. Foto: Badminton Photo
Kian Meng-Pei Jing memulakan kempen di Basel langkah kanan. Foto: Badminton Photo
A
A
A

PASANGAN beregu campuran negara bermula garang di pusingan pertama kejuaraan Terbuka Switzerland di St Jakobshalle Basel, Basel apabila mara ke pusingan kedua.

Pilihan keempat kejuaraan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing memulakan kempen langkah kanan apabila menewaskan pasangan dari India, MR Arjun-Treesa Jolly 21-15, 21-17 dalam aksi 37 minit.

Gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie juga turut mengesahkan kemaraan selepas menewaskan Dhruv Kapila-Gayatri Gopichan 21-18, 21-15 dalam perlawanan yang berlangsung selama 32 minit.

Sementara itu, gandingan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei pula memerlukan 55 minit untuk bangkit kekalahan set pertama bagi menewaskan satu lagi pasangan dari India, Ishaan Bhatnagara-Tanisha Crasto 18-21, 22-20, 21-14 sekali gus mara ke pusingan kedua.

Namun begitu nasib tidak menyebelahi Hoo Pang Ron-Cheah Yee See yang terpaksa memberikan kemenangan percuma kepada Rehan Kusharjanto-Lisa Kusmawati dari Indonesia, selepas Yee See positif Covid-19.

Sebelum ini, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam satu kenyataan mengesahkan penarikan diri China berikutan pandemik Covid-19 dan isu kecederaan.

Menurut BWF, Persatuan Badminton China merekodkan beberapa kes positif, selain kecederaan dalam kalangan pemain pasukan itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!