Ecuador perlu berikan aksi terbaik

Alfaro - Foto Ty C Sports
Alfaro - Foto Ty C Sports
A
A
A

PENGENDALI Ecuador, Gustavao Alfaro mahu skuad kendaliannya memberikan aksi terbaik dalam usaha memastikan kemenangan pada aksi Kelayakan Piala Dunia Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL), berdepan Paraguay pada Jumaat.

Menurut Alfafaro, biarpun beraksi di gelanggang lawan, namun kesebelasan La Tri itu diharap dapat beraksi seperti biasa bagi merealisasikan kemenangan berkenaan.

“Kita tidak ada pilihan selain memenangi perlawanan ini untuk terus memburu kedudukan empat pasukan teratas bagi mengesahkan slot ke Piala Dunia 2022 kelak.

“Sebolehnya, kita mahu layak secara automatik dan tidak mahu beraksi bagi pusingan play-off kerana ia bakal memberikan lebih banyak kesukaran kelak.

“Oleh itu, kesemua pemain diharap bersedia secukupnya bagi memastikan kemenangan pasukan ini,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 4.5 slot diperuntukkan bagi pasukan CONMEBOL di mana empat pasukan layak secara automatik manakala pasukan di tangga kelima bakal beraksi pada perlawanan play-off.

Ecuador kini berada pada kedudukan ketiga dengan 25 mata di belakang Brazil dan Argentina yang sudah pun mengesahkan slot lebih awal ke Piala Dunia.

Bagaimanapun, kedudukan Ecuador masih belum selamat kerana diekori rapat Uruguay, Peru dan Chile yang mampu melakukan kejutan bagi memintas skuad La Tri itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Alfaro berharap kesebelasan pemainnya perlu berhati-hati biarpun berdepan Paraguay yang berada pada kedudukan kedua tercorot dalam aksi kelayakan berkenaan.

Katanya, dalam bola sepak pelbagai kejutan boleh berlaku dan perkara itu perlu dielakkan.

“Kita di landasan yang betul ketika ini dan kita hanya perlu memenangi tiga lagi perlawanan untuk layak secara automatik.

“Kita juga tidak mahu peluang ini ‘rosak’ dan sebab itu kesemua pemain perlu memberikan aksi terbaik pada baki perlawanan nanti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!