Sebutan semula kes wanita didakwa bunuh suami 22 April
SEREMBAN - Mahkamah Majistret, di sini menetapkan 22 April depan sebagai sebutan semula kes seorang wanita yang didakwa menikam suaminya hingga mati di rumah mereka di Rasah Kemayan, Seremban pada Januari lalu.
Majistret Norzaliza Tesmin membuat keputusan itu pada Rabu selepas pihak pendakwaan memberitahu masih belum mendapatkan laporan bedah siasat, kimia dan psikiatri terhadap tertuduh, Lau Seck Yan, 55.
Pada prosiding itu tertuduh juga tidak hadir ke mahkamah kerana masih menjalani pemerhatian.
Sinar Harian pada 25 Februari lalu melaporkan mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani penilaian psikiatri di Hospital Permai di Johor Bahru selama sebulan.
Sepatutnya pada Rabu, pihak pendakwaan membentangkan laporan kimia dan psikatrinya.
Majistret Norzaliza mengeluarkan perintah itu ke atas Seck Yan yang merupakan bekas calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 2018, selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili tertuduh, Joshua Nga Koo Koy.
Dalam prosiding sebutan semula kes tersebut, Joshua meminta mahkamah menghantar anak guamnya menjalani penilaian mental selama sebulan atas faktor tertuduh mempunyai sejarah bertindak agresif dan ganas terhadap suaminya.
Menurut Joshua, dua afidavit bagi menyokong hujah itu yang ditandatangani oleh dua anak perempuan mereka telah dikemukakan kepada mahkamah pada 22 dan 23 Februari lalu.
Tertuduh pada 28 Januari lalu didakwa membunuh suaminya, Poh Seng Hiap, 55, di rumah mereka di Rasah Kemayan Golf & Country Township di sini antara jam 3.30 hingga 4.30 petang pada 23 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!