Pengasuh dipenjara dua tahun dera kanak-kanak
GEORGETOWN - Seorang wanita warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas mengaku bersalah menganiaya dan mendera seorang kanak-kanak lelaki tahun lalu.
Ellis Andreyani, 47, yang berasal dari Medan, Sumatera membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid setelah pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di Mahkamah Sesyen Jenayah 2 di sini pada Rabu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada November 2021 antara jam 10 pagi hingga 3 petang di sebuah rumah di Taman Utama Minden Height, Gelugor di sini.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa telah menganiayai dan mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal.
Sebelum itu, mahkamah memasang klip video kejadian yang tular di hadapan tertuduh dan dia kemudiannya mengakui bahawa individu di dalam video berkenaan adalah dirinya.
Dalam rayuannya, dia yang berkahwin dengan warga tempatan dan berada di negara ini selama tujuh tahun itu mengakui menyesali dengan perbuatannya itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
"Saya minta maaf dan saya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini lagi.
"Saya minta hukuman dan denda (jika ada) dikurangkan," katanya.
Mazdi kemudiannya berkata, mahkamah menerima pengakuan bersalah tertuduh dan menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu 8 Disember tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid dan Muhammad Shahrezal Mohd Shukri.
Rais dalam hujahannya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh memandangkan mangsa merupakan kanak-kanak yang tidak berupaya untuk mempertahankan diri.
"Hukuman yang setimpal juga adalah untuk dijadikan iktibar kepada orang lain yang mana, sebagai pengasuh, tertuduh sepatutnya menjaga dan bukannya menjadikan kanak-kanak itu sebagai subjek untuk dipukul.
"Kes ini melibatkan kepentingan awam, sehubungan itu, saya mohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat untuk lebih menghargai kanak-kanak," katanya.
Mengikut fakta kes, pengadu (dalam kes ini anak tiri tertuduh) telah melihat video yang dirakam oleh anaknya sendiri (cucu tiri tertuduh) mendera beberapa kanak-kanak di bawah jagaan tertuduh dengan memukul mereka menggunakan tangan kira-kira jam 1.15 tengahari pada 2 Disember tahun lalu.
Pengadu kemudiannya membuat laporan polis dan tertuduh ditahan pada 8 Disember 2021.
Sebelum ini, polis menafikan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pengasuh tersebut seperti yang didakwa beberapa pihak sejak Selasa minggu lalu.
Polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan pada 7 Disember tahun lalu lalu menahan suspek pada keesokan harinya kerana didakwa mendera empat kanak-kanak.
Sebelum ini, tular sebuah klip video di Twitter mengenai seorang wanita yang dipercayai pengasuh menampar pipi seorang kanak-kanak yang hanya memakai lampin dengan kuat termasuk menarik tangan kanak-kanak terbabit.
Pemilik akaun Twitter terbabit turut mendakwa laporan polis sudah dibuat tetapi tiada tindakan diambil kerana polis mendakwa wanita terbabit mengalami masalah mental.
Tertuduh kini menunggu penghantaran pulang selepas menjalani hukuman di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen kerana tidak memproses dokumen perjalanan yang sah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!