Isu empat beradik: Dakwaan NGO ibu bapa tak tanya khabar tidak benar
SEREMBAN - Dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan(NGO) di media sosial yang mengatakan terdapat empat beradik ditinggalkan oleh ibu bapa di rumah pengasuh di Negeri Sembilan tanpa bertanya khabar adalah tidak benar.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM), Rosnah Sardi berkata, meskipun kanak-kanak yang berusia antara satu hingga tujuh tahun itu ditinggalkan dengan pengasuh, namun ibunya sentiasa bertanya khabar.
"Ibu kanak-kanak itu tidak meninggalkan mereka dengan pengasuh tanpa khabar berita sebagaimana yang didakwa.
"Dia juga sentiasa mengambil tahu perihal anak-anaknya dan boleh dihubungi setiap masa," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, permasalahan yang dikenal pasti adalah isu penjagaan secara sah dan masalah kewangan dihadapi ibu kanak-kanak terbabit yang telah pun berpisah dengan suaminya pada November tahun lalu.
Ujarnya, selepas berpisah, kanak-kanak itu dijaga oleh nenek sebelah bapa hingga tahun lalu.
"Namun berlaku pertengkaran antara nenek dan bapa kanak-kanak terbabit kerana tidak memberikan duit belanja anak-anak.
"Pada akhir bulan lalu, kanak-kanak terbabit diambil semula oleh ibunya dan ditinggalkan dengan seorang pengasuh yang telah menjaga mereka sejak kecil sebelum ibu bapa mereka bercerai," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, Rosnah berkata, hubungan yang baik antara mereka menyebabkan pengasuh berhasrat terus menjaga kanak-kanak terbabit sehingga keadaan ekonomi ibu mereka bertambah baik.
Ini kerana katanya, ibu mereka hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah agensi di Putrajaya dan sukar untuk berulang alik ke Mantin kerana tiada kenderaan sendiri.
"Oleh itu dia hanya menyewa bilik di Putrajaya dan tidak sesuai untuk anak-anaknya tinggal bersama manakala bapanya yang bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Bangi tidak memberi nafkah bulanan kepada anak-anak sejak mereka bercerai," katanya.
Menurutnya, Pegawai Pelindung Daerah Seremban dan Unit Bantuan JKM Seremban sedang meneliti mekanisma bantuan yang boleh diberikan kepada ibu terbabit.
Sementara itu pemerhatian Sinar Harian di akaun Facebook NGO berkenaan mendapati hantaran itu telah dipadamkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!