Lihat cadangan eksport ketum dari sudut positif: Exco Kedah

Mohd Firdaus (kiri)
Mohd Firdaus (kiri)
A
A
A

ALOR SETAR - Cadangan kerajaan negeri untuk mengeksport daun ketum perlu dilihat dari sudut positif bagi membantu meningkatkan ekonomi penduduk terutamanya luar bandar di Kedah.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Kedah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, sesuatu perkara akan menjadi baik sekiranya masyarakat melihat sesuatu benda itu lebih ke arah kebaikan.

Beliau berkata, sebagai contohnya, penggunaan internet sekiranya tiada kawalan serta salah guna turut akan merosakkan otak secara perlahan.

"Turut saya nak sentuh portfolio Pembangunan Usahawan. Definisi Pembangunan ini adalah sekiranya ada elemen-elemen yang baik kepada rakyat, kita boleh pertimbangkan dan kaji.

"Berkenaan cadangan eksport ketum, saya melihat ini satu perniagaan yang baik kepada usahawan tani memandangkan tempoh matang sesebuah pokok tidak terlalu lama, tempoh menuai boleh dilakukan secara berkala dan tidak perlu menunggu musim," katanya ketika ucapan penggulungan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.

Menurut Mohd Firdaus, cadangan ini juga akan meningkatkan ekonomi usahawan tani dan satu sumber perniagaan baharu kepada rakyat di kawasan pedalaman dengan penetapan akta dan prosedur operasi standard (SOP) bagi penanaman dan penjualan ketum.

Katanya, hasrat kerajaan negeri untuk mengkomersialkan penanaman ketum wajar disambut dengan baik bagi membuka ruang penambahan pendapatan kepada usahawan terutama penduduk di luar bandar atau mereka yang mempunyai tanah untuk diusahakan.

Tambah beliau, daun ketum didapati mendapat permintaan tinggi dari syarikat farmasi Amerika Syarikat dan Eropah kerana ia digunakan dengan meluas dalam industri farmaseutikal (pembuatan ubat-ubatan).

Artikel Berkaitan:

"Sumber Risda (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) menyatakan seramai 600,000 pekebun kecil termasuk di Kedah dibantu dengan purata pendapatan RM1,000 sebulan melalui hasil tanaman 10 pokok ketum, sekiranya kerajaan membenarkan penanaman ketum secara terkawal.

"Di Kalimantan, Indonesia, perusahaan ketum didapati menjana RM10 juta sebulan hasil eksport ketum ke negara Eropah,"katanya.

Beliau berkata, perusahaan ketum tidak memerlukan modal besar, mudah dijaga dan tidak rumit, selain tidak memerlukan penjagaan khusus kerana ia tidak mempunyai penyakit dan serangan serangga yang khusus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!