'Azizulhasni mampu lakar kejayaan tahun ini' - Ahmad Faizal

Ahmad Faizal - Foto Bernama
Ahmad Faizal - Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin dengan kemampuan jaguh berbasikal negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, untuk mencipta kejayaan pada dua temasya utama tahun ini - Sukan Komanwel dan Asia.

Malah beliau turut meletakkan keyakinan tinggi ke atas semua atlet negara yang bakal beraksi di Sukan SEA Hanoi pada Mei, Komanwel Birmingham (Julai-Ogos) dan Asia Hangzhou (September) untuk mencipta kejayaan buat negara.

"Saya yakin dengan kebolehan, kesungguhan yang ditunjukkan oleh Datuk Azizul dan para atlet kita.

"Saya yakin apa juga keputusan yang diperolehi akan menyemarakan semangat rakyat Malaysia dan berbangga dengan semua atlet kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Sukan Negara 2019/2020 malam tadi.

Terdahulu Mohd Azizulhasni, 34, yang dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan buat kali keempat berjanji untuk memberikan sepenuh perhatian bagi memastikan beliau dapat beraksi dengan cemerlang dan sekali lagi mencipta sejarah buat sukan tanah air.

‘The Pocket Rocketman’ yang sedang menjalani latihan di Melbourne, Australia, menerusi video yang ditayangkan pada majlis itu turut berkata Sukan Komanwel dan Asia kali ini bakal menjadi penyertaan terakhirnya kerana mahu bersara selepas Sukan Olimpik Paris 2024.

Sementara itu Ahmad Faizal berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan semasa pandemik Covid-19 di Vietnam, selain turut merujuk kepada nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mengenai proses penyertaan di Sukan SEA.

Dengan Vietnam mencatatkan 166,205 kes harian pada Ahad, beliau berkata setakat ini pihaknya masih mengikut perancangan untuk menyertai temasya berkenaan yang dijadualkan bermula 12-23 Mei, dengan menitikberatkan keselamatan seluruh kontinjen negara.

Mengulas mengenai kemelut sepak takraw negara di antara dua entiti - Persatuan Sepaktakraw Malaysia dan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC), Ahmad Faizal menasihatkan supaya perkembangan dan kepentingan sukan itu harus menjadi keutamaan semua pihak, berbanding politik di dalam pengurusan persatuan yang tidak menguntungkan sukan itu.

Artikel Berkaitan:

"Apa juga yang kami (kementerian) lakukan, kami ikut peraturan yang sedia ada dan kita juga ada hujah-hujah mengapa kita membuat berapa keputusan-keputusan. Saya melihat keputusan yang dibuat oleh PJS (Pejabat Pesuruhjaya Sukan) adalah tepat dan saya berharap perkara ini tidak berpanjangan,” katanya.

PSM sebelum ini dilaporkan mahu mengheret Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas disingkirkan keahliannya, manakala entiti baru MSC diterima sebagai wakil Malaysia selepas mendapat kelulusan daripada PJS dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!