[VIDEO] Penyu 'minta tolong' lepaskan mata kail tersangkut

Mahadi bersama penyu yang menghampirinya ketika memancing di Pantai Kuala Kertih, di Kemaman pada Isnin lalu.
Mahadi bersama penyu yang menghampirinya ketika memancing di Pantai Kuala Kertih, di Kemaman pada Isnin lalu.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang pemandu lori terkejut apabila didatangi seekor penyu seolah-olah meminta pertolongan ketika sedang memancing di kawasan pantai Kuala Kertih, disini pada Isnin lalu.

Mahadi Mat, 42, berkata, dia ternampak penyu yang dianggarkan seberat 10 kilogram (kg) itu muncul dari permukaan air menuju ke arahnya pada jarak 15 meter kira-kira jam 6.50 petang.

"Dari jauh saya nampak macam ada sesuatu muncul di permukaan air, makin lama makin dekat menuju ke arah saya. Saya tak sangka penyu yang datang.

"Pada mulanya saya terlintas untuk biarkan sahaja penyu itu kerana menganggap ia hanya bermain disitu. Bila teringat satu video pernah saya tonton menceritakan penyu dekati manusia untuk meminta tolong, saya terus dapatkan penyu itu.

"Bila tengok dekat, rupa-rupanya ada mata kail yang sudah berkarat tersangkut pada mulut penyu itu," katanya kepada Sinar Harian, pada Rabu.

Menurut Mahadi, selepas mengangkat penyu itu ke darat, dia menggunakan playar muncung tirus untuk mengeluarkan mata kail yang tersangkut pada mulut reptilia laut itu.

"Proses mengeluarkan mata kail sekejap sahaja tak sampai lima minit. Mujurlah mata kail itu tidak patah.

"Selepas memastikan tiada lagi mata kail atau kecederaan pada badan haiwan itu, saya melepaskan penyu itu kembali ke laut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mata kail yang sudah berkarat berjaya dikeluarkan daripada mulut penyu itu.
Mata kail yang sudah berkarat berjaya dikeluarkan daripada mulut penyu itu.

Mahadi yang tinggal di Kampung Baru, Kertih disini, berkata, sebelum ini dia pernah mendengar cerita daripada pemancing di kawasan itu yang memberitahu pernah ternampak penyu muncul di situ.

"Saya tidak pasti sama ada penyu yang saya jumpa itu penyu yang sama atau lain dan tidak dapat mengecam sama ada jantan atau betina.

"Saya juga tak dapat pastikan jenis penyu itu sama ada penyu karah atau penyu agar kerana ini pertama kali saya bertemu haiwan itu sebab selama ini hanya melihat penyu pada program atau pameran," katanya.

Mahadi berkata, dia berharap penyu yang dilepaskan itu selamat dan tidak berdepan sebarang ancaman.

"Saya harap penyu itu kembali aktif dan sihat sebab ia nampak macam lemah, mungkin sudah lama menahan sakit disebabkan mata kail itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!