Tujuh aset baharu TUDM mula operasi seawal 2024

Mohd Asghar Khan (kiri) ketika sidang media selepas menyampaikan perintah ulung sebagai Panglima Tentera Udara ke-20 di Wisma Pertahanan hari ini. - Foto Bernama
Mohd Asghar Khan (kiri) ketika sidang media selepas menyampaikan perintah ulung sebagai Panglima Tentera Udara ke-20 di Wisma Pertahanan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan pasukan itu akan memperoleh secara berperingkat tujuh aset baharu termasuk pesawat pejuang, dengan pengoperasiannya dijangka seawal tahun 2024 bagi meningkatkan keupayaan pertahanan udara negara.

Panglima TUDM, Jen Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, aset tersebut membabitkan pesawat Fighter Lead In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) yang akan beroperasi pada 2024.

Selain itu, katanya TUDM dalam proses perolehan pesawat Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE-UAS) dan pesawat peronda maritim (MPA) yang masing-masing dijangka beroperasi pada 2024 dan 2025.

"Bagi pesawat UAS, ia kini di peringkat penilaian fizikal yang telah disenarai pendek oleh Lembaga Perolehan Kementerian Pertahanan dan proses ini masih berjalan.

"Perolehan MPA pula masih di peringkat Kementerian Kewangan dan ada beberapa calon (syarikat pesawat) yang telah disenaraikan untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media selepas menyampaikan perintah ulung sebagai Panglima Tentera Udara (PTU) ke-20, di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Mohd Asghar Khan berkata, aset lain termasuk perolehan tiga buah sistem radar pertahanan udara jarak jauh (LORAD) (Long Range Air Defence Radar System) dan satu sistem radar pertahanan udara yang akan diterima pada 2024 melalui jalinan kerjasama pertahanan antara negara.

Menurutnya, perolehan lain adalah aset membabitkan sistem pertahanan udara jarak sederhana (MERAD) (Medium Range Air Defence System) dan penggantian pesawat helikopter utiliti dengan proses perolehan dijangka berlaku seawal 2023.

"Saya berharap perancangan perolehan semua aset baharu ini dapat dilaksanakan dengan teliti dan sistematik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu dalam ucapan perintah ulung PTU ke-20, Mohd Asghar Khan mengumumkan enam tonggak bagi mendepani cabaran masa hadapan serta memastikan legasi kegemilangan TUDM sentiasa terpelihara.

Katanya enam tonggak tersebut adalah pemantapan keupayaan dan kesiagaan TUDM; keunggulan struktur dan kecemerlangan organisasi; pemerkasaan dan pengupayaan warga udara; mengoptimumkan pengurusan sumber dan meningkatkan budaya inovasi; peningkatan keupayaan TUDM melalui kolaborasi bersama industri pertahanan tempatan; dan kebajikan sosial serta kelestarian warga pasukan.

"Enam tonggak ini perlu dikupas setiap warga udara supaya setiap tindakan selepas ini dapat memastikan TUDM berfungsi sebagai sebuah angkatan udara yang efektif dan berwibawa," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!