Pelancong tegur bendera Malaysia
SHAH ALAM - "Adakah ini bendera Malaysia? Kenapa teruk sangat keadaanya?," tegur seorang penumpang Jepun sewaktu menaiki teksi dipandu, Zulkifli Ramesh Abdullah, 46, Februari lalu.
Perbualan itu merujuk kepada keadaan bendera yang digantung di sepanjang jalan dari Seksyen 17 sehingga Seksyen 20 berada dalam keadaan uzur dan koyak serta pudar warnanya.
Insiden itu menyebabkan Zulkifli membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), meminta bendera yang rosak itu dicabut kerana memberikan imej yang buruk di Shah Alam.
"Saya mengambil pelancong itu bersama seorang rakannya dari Seksyen 17 untuk dibawa ke Subang Jaya. Dia tanya saya adakah ini bendara Malaysia dan saya jawab ya. Dia kemudian tanya kenapa teruk sangat keadannya.
"Selepas itu dia tak tanya apa-apa tetapi mereka bersembang dalam bahasa mereka sahaja. Mungkin dia bercakap pasal isu bendera itu. Selepas turunkan mereka saya terus hubungi MBSA.
"Saya buat aduan pada 18 Februari lalu dengan nombor aduan saya 1180/02/2019. Namun sehingga hari ini tiada apa-apa tindakan diambil oleh pihak MBSA," katanya.
Sementara itu Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad ketika dihubungi bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu memaklumkan akan melakukan pemeriksaan dan mengambil tindakan.
"Untuk makluman bendera yang berada di tiang-tiang lampu ini bukan dipasang oleh pihak MBSA kerana saiznya kecil dan tidak mengikut spesifikasi biasa yang dipasang oleh MBSA sekiranya ada acara atau majlis rasmi," katanya.
Bagaimanapun katanya, pihak MBSA akan membuat pemeriksaan dan menurunkan bendera-bendera tersebut.
"Orang ramai diingatkan supaya mendapatkan kebenaran daripada pihak MBSA terlebih dahulu sebelum memasang atau menaikkan sebarang bentuk visual, struktur dan iklan di tempat awam.
"Tindakan tegas termasuk kompaun akan dikenakan kepada mereka yang ingkar dengan tidak mematuhi syarat peraturan yg ditetapkan oleh pihak MBSA," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!