MTEM sediakan kertas dasar selesaikan isu majikan, pekerja
SHAH ALAM - Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) sedang menyediakan satu kertas dasar untuk dibentangkan kepada kerajaan bagi mewujudkan penyelesaian menang-menang buat majikan dan pekerja berhubung isu kenaikan gaji minimum.
Felo Kanan MTEM, Azlan Awang berkata, konsep gaji kehidupan wajar adalah teras kepada cadangan yang bakal diutarakan kerana ia adalah parameter yang lebih menyeluruh bagi membantu kerajaan merealisasikan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).
“Inisiatif MTEM seterusnya yang turut akan dimasukkan ke dalam kertas dasar ini adalah untuk menjadi pemudah cara pihak kerajaan iaitu ke arah penyatuan yang lebih bermakna.
“Sebagaimana yang disarankan dalam RMK12 untuk memberi lebih suara atau ‘collective bargaining’ dalam mana-mana rundingan penetapan gaji dan upah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Azlan berkata, MTEM menyokong sepenuhnya pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berhubung kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,500 sebulan mulai 1 Mei depan.
Menurutnya, isu gaji minimum sebenarnya turut diperakui Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri apabila melaporkan pertumbuhan gaji pekerja di negara masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan kadar pertumbuhan produktiviti mereka.
“Secara tak langsung ia memberi petunjuk bahawa produktiviti pekerja yang diterjemah menjadi keuntungan syarikat telah mengalir secara tidak adil antara majikan dan pekerja.
“Laporan BNM yang sama turut menyarankan sebarang bentuk kenaikan gaji pekerja hendaklah mampu memenuhi kehidupan wajar.
“Kenaikan gaji yang lebih bermakna bukan sekadar mampu menampung keperluan asas tetapi harus mengambil kira keupayaan untuk hidup dalam masyarakat, mempertingkat keupayaan diri dan keluarga serta bebas daripada himpitan kewangan atau hutang yang melampau,” ujarnya.
Tambah beliau, trend industri secara amnya masih terlalu bergantung bahkan meraih pelbagai manfaat daripada penggunaan tenaga buruh asing dan tidak mahir yang banyak.
“Ditambah dengan insentif pengecualian cukai dalam pelbagai bentuk kepada majikan tanpa mengambil kira sama ada perusahaan yang dijalankan bersifat intensif-buruh atau sebaliknya.
“MTEM amat bimbang sekiranya dibiarkan berlarutan, ekonomi negara akan terus terperangkap dalam situasi ‘low wage, low-skill dan low value’ yang hanya mahukan pekerja tidak mahir dan pekerja asing yang ramai.
“Keadaan ini sebenarnya telah berlaku dan saban hari kita membaca berita pengangguran dalam kalangan siswazah dan tenaga mahir kerana tidak ada tempat buat mereka di negara sendiri.
“Jika ada sekalipun kadar upahnya tidak setimpal berbanding bekerja di luar negara,” jelasnya.
Beliau berkata, jika dibiarkan tanpa solusi, dasar nasional yang mengidamkan ekonomi berteraskan inovasi dan berkemahiran serta mengurangkan kebergantungan pada pekerja asing akan terus gagal.
“Sedangkan negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Vietnam kadar upah buat tenaga mahir jauh lebih tinggi dan pada hari ini pelaburan langsung asing (FDI) mereka banyak tertumpu pada sektor berteras teknologi termaju.
“Sementelah Malaysia kini telah pun meratifikasi perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang berkuat kuasa sepenuhnya 18 Mac lalu, kita tidak akan mampu menyaingi negara-negara ahli RCEP yang lain jika masih terlalu bergantung pada ekonomi berinput kecil,” jelasnya.
Azlan berkata, MTEM percaya peningkatan gaji dan pendapatan isi rumah akan mendorong pemulihan serta peningkatan ekonomi apabila berkembangnya permintaan domestik.
“Kenaikan gaji juga berupaya menjadi insentif kepada industri untuk berhijrah kepada pendekatan yang kurang intensif buruh dan lebih berorientasikan kemahiran dan teknologi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!