Individu lengkap dos penggalak diminta abaikan janji temu dos keempat

Sila batalkan janji temu di MySejahtera anda dan tidak perlu hadir ke PPV sekiranya telah lengkap menerima suntikan dos penggalak.
Sila batalkan janji temu di MySejahtera anda dan tidak perlu hadir ke PPV sekiranya telah lengkap menerima suntikan dos penggalak.
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu bapa atau penjaga kepada remaja berusia 17 tahun ke bawah dan individu dewasa yang telah mengambil suntikan dos penggalak Covid-19 diminta mengabaikan pautan janji temu dos keempat yang dihantar melalui aplikasi MySejahtera.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Unit MySejahtera dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, telah berlaku isu teknikal memandangkan janji temu dalam sistem MySejahtera dihantar secara automatik.

“Adalah menjadi dasar KKM buat masa ini menyarankan dos penggalak hanya diberikan kepada individu dewasa berusia 18 tahun dan ke atas serta tiada dos penggalak kedua atau dos keempat diberikan kepada umum.

“Sekiranya anda telah pun membuat janji temu dos penggalak untuk tanggungan anda atau untuk dos keempat melalui pautan yang dihantar, sila batalkan janji temu tersebut dan anda tidak perlu hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” katanya.

Menurut kenyataan itu, PPV telah dimaklumkan tentang perkara berkenaan dan mereka akan menolak kehadiran remaja untuk dos penggalak dan juga individu yang hadir untuk dos penggalak kedua atau dos keempat.

“Pasukan teknikal MySejahtera sedang memperbetulkan perkara ini dan memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang timbul daripada masalah teknikal ini,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, Datuk Dr Anas Alam Faizli memaklumkan, orang ramai kini boleh membuat janji temu untuk dos penggalak melalui Booking Management System di aplikasi MySejahtera untuk tempahan slot bermula 21 Mac ini di seluruh negara.

Katanya, ia bertujuan meluaskan lagi liputan dan mempercepatkan vaksinasi dos penggalak dalam kalangan rakyat Malaysia sebelum status vaksinasi penuh ditarik balik daripada penerima vaksin primer lengkap (dos 1 dan dos 2) bagi yang tidak mendapatkan dos penggalak selewat-lewatnya 31 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!