Perut rakyat lebih penting dari tanam ganja
SHAH ALAM - Soal kos sara hidup dan bebanan yang ditanggung rakyat seharusnya menjadi soal utama berbanding penanaman ganja.
Ketua Pemuda UMNO Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, menjadi tanda tanya isu tersebut lebih diutamakan ADUN Jeram Mohd Shaid Rosli yang dilihat lebih mengutamakan soal penanaman ganja dari soal rakyat miskin dan masalah kos sara hidup rakyat.
"Selangor ini sendiri masih lagi ramai rakyat yang bergolongan B40, tetapi ternyata lebih gemar memberi cadangan yang memberi beliau publisiti murahan di Sidang Dewan Undangan Negeri.
"Tambahan, beliau memberi cadangan penanaman ganja ini kerana bakal menguntungkan pendapatan negeri sedangkan di Malaysia ini masih banyak lagi tanaman yang boleh diusahakan untuk mendapatkan hasil kepada negeri sebagai contoh dalam sektor pertanian di Selangor ini tanaman padi dan kelapa sawit yang hingga sekarang memberi keuntungan," katanya.
Katanya, dalam masa sama, beberapa perkara perlu dilihat secara mendalam terutamanya melibatkan aspek perundangan.
"Banyak perkara yang perlu dilakukan terlebih dahulu, pertama sekali dari sudut perundangan negara, terutamanya ganja ini dimasukkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 khusus mengawal selia import, eksport, pengilangan, penjualan dan sebagainya.
"Sekiranya digunakan dalam bidang perubatan, ia dikawal selia dan rapi, dan bukannya secara tanaman di negara ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tanam ganja undang lebih banyak kes dadah
ARTIKEL BERKAITAN: Ganja untuk perubatan, penyelidikan bertepatan Maqasid Syariah
Menurutnya, faktor yang mengatakan penanaman ganja ini boleh membantu pulangan lumayan, menimbulkan banyak persoalan.
"Jika penanaman ganja ini boleh membantu pulangan yang sangat lumayan dan ini dijadikan tanda aras.
"Saya tegaskan, dari asas dan sumber mana ADUN yang mencadangkan perkara ini bercakap dan mengeluarkan fakta sedemikian rupa, beliau bercakap seperti bukan seorang wakil rakyat sebaliknya seperti penjual MLM, bakal menjanjikan harapan keuntungan yang berlipat kali ganda berbanding kelapa sawit?" katanya.
Jelasnya, persoalan lain yang timbul adakah kajian yang dikatakan dilakukan oleh salah sebuah universiti tempatan itu mengambil kira kepelbagaian faktor.
"Ini yang merunsingkan dan menjadi tanda tanya, saya tegaskan jika ini masih di dalam peringkat kajian serta belum mempunyai sebarang keputusan, ADUN ini bercakap di dalam sidang DUN hanya mencari publisiti murahan," katanya.
Jelasnya, dalam soal lain, dikatakan kelak dari sudut kawalan, lokasi penanaman hanya boleh diakses oleh pihak tertentu tapi membuka peluang pekerjaan, ini yang menjadi tanda tanya.
"Bagi saya hujah yang kurang bijak tentang lokasi tanaman hanya boleh diakses oleh pihak tertentu, tetapi dalam masa yang sama ingin memberi peluang pekerjaan kepada orang ramai.
"Masa sama dikatakan tidak perlu risau soal pasaran gelap dan sebagainya, persoalan ini bermain di minda saya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!