Segerakan pelaksanaan RUU Anti Lompat Parti: Ahli Dewan Negara
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Beberapa Ahli Dewan Negara pada Rabu menggesa kerajaan untuk menyegerakan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, bagi menjamin kestabilan politik negara.
Senator Lim Hui Ying berkata, kerajaan harus melaksanakan rang undang-undang itu, seperti yang dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) pada September tahun lepas, yang masih belum tercapai.
"MoU yang dimeterai perlu dihormati dan dilaksanakan mengikut garis tempoh yang dipersetujui bersama. Walaupun sebahagian MoU itu telah dipenuhi, namun masih terdapat beberapa perkara yang harus dilaksanakan segera, sebelum Mesyuarat Pertama Penggal Kelima (Parlimen) ini tamat.
"Seperti yang saya ucapkan pada sesi perbahasan yang lepas, MoU ini bukanlah blank cheque kepada kerajaan hari ini untuk berbuat sesuka hati, tetapi saya ingin mengingatkan kerajaan untuk segera melaksanakan agenda reformasi yang termaktub dalam MoU itu,” katanya semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dalam persidangan Dewan Negara di sini, pada Rabu.
Senator Datuk Razali Idris pula berpandangan, penguatkuasaan rang undang-undang itu perlu dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.
"Ini pendirian saya tentang anti lompat (parti) ini sangat penting. Memang kita (ahli politik) rasa syok lompat parti membawa ‘kerusi’, tetapi yang memilih kita di lapangan (rakyat). Ini menunggu masa sahaja,” katanya.
Menurut Razali, beliau juga pernah menyuarakan status pelaksanaan rang undang-undang itu semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan sebelum ini, namun tidak mendapat sebarang jawapan.
"Selama 22 bulan (PH) memerintah ketika itu, dan saya pernah tanya bila hendak selesaikan undang-undang ini...habis 22 bulan tiada pun cadangan akta anti lompat...masuk Perikatan Nasional (PN) (pimpinan) Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya jumpa juga, dia kata keadaan sekarang kita berhadapan dengan Covid-19.
"Masalah yang berat kena lawan Covid-19 dahulu, tetapi tak sempat habis Covid-19, dia (Muhyiddin) tumbang. Kemudian naik perdana menteri seterusnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan inilah masa paling sesuai sekali untuk kita membentang, membahas dan menyokong undang-undang anti lompat diadakan di negara kita sebelum PRU15,” tegasnya.
Sementara itu, Senator Khairil Nizam Khirudin berpandangan, kerjasama dwipartisan antara kerajaan dan pembangkang harus dilanjutkan sehingga tahun hadapan, bagi meneruskan kestabilan politik serta memastikan Parlimen tidak dibubarkan sehingga mencapai tempoh ‘matang’.
"Malaysia dalam keadaan stabil dan tidak ada sebab munasabah kita memberi tekanan kepada Perdana Menteri, untuk membubarkan Parlimen lebih awal.
"Kita ada demokrasi bermusyawarah, jadi kerjasama dwipartisan kerajaan dan pembangkang mesti diteruskan dan dilanjutkan, agar negara kita berada dalam landasan pemulihan yang tepat,” katanya.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok (Khamis). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!