PH tolak usul kerajaan, MoU terbatal: Annuar Musa
SHAH ALAM - Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dengan parti pembangkang terbatal susulan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang meminta undi belah bahagi dilaksanakan di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, berdasarkan Perkara 3.3(b) dalam MoU menyatakan bahawa PH bersetuju akan mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam sebarang usul yang dikemukakan oleh kerajaan, bermakna mereka berjanji tidak akan menolak usul kerajaan.
“Namun hari ini 23 Mac 2022, PH telah melanggar MoU tersebut, dengan secara mengejut meminta undi belah bahagi bagi satu usul yang dibawa oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin di mana PH telah mengundi menolak usul tersebut.
“Pada hemat saya, dengan tindakan itu, maka terbatal sudah MoU berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Dewan Rakyat pada Rabu telah menolak usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) selama lima tahun lagi dan mengekalkan tempoh tahanan selama 28 hari.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini bebas untuk membatal atau menggantung pelaksanaan MoU tersebut.
Jelasnya, ia akan memudahkan lagi tanggungjawab Perdana Menteri, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melaksanakan mandat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 terutama berkaitan pembubaran Parlimen.
“Ia juga membolehkan kita segerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selari dengan keputusan PAU tempoh hari.
“Gantung MoU! Jom!... Kita buat persiapan dan bersedia untuk PRU15,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!