Litar Sepang kembali dalam kalendar MotoGP
GRAND Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kembali berada dalam senarai penganjuran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sehingga musim 2024.
Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, perkhabaran itu diharap memberikan berita gembira kepada peminat sukan permotoran tanah air.
Malah katanya, berita ini pastinya akan membantu menarik semula kehadiran orang ramai bagi menyaksikan saingan MotoGP yang kali terakhir diadakan di SIC adalah pada musim 2019.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kita telah selesai mengadakan rundingan pertama berhubung lanjutan kontrak dengan Dorna Sports berhubung penganjuran MotoGP di SIC.
“Kita juga bakal mengalu-alukan semula kehadiran penonton ke SIC setelah dua tahun berikutan pandemik Covid-19.
“Selaras dengan tema #WelcomeHome, tahun ini diharap dapat menyaksikan kebangkitan semula industri permotoran dengan pelbagai tawaran yang lebih unik dan menarik,” katanya menerusi kenyataan media pada Rabu.
Kali terakhir SIC menganjurkan saingan MotoGP adalah pada musim 2019 yang menyaksikan pelumba Yamaha dari Sepanyol, Maverick Vinales muncul juara.
Sementara itu, CEO Dorna Sports, Carmelo Expeleta mengakui gembira apabila saingan MotoGP di negara ini masih berada dalam kalendar sehingga musim 2024.
“Sebelum ini kita sudah menyaksikan keterujaan penonton yang hadir bagi menyaksikan saingan MotoGP dan kini kami akan kembali lagi untuk menyajikan saingan MotoGP yang lebih sengit untuk anda.
“Dalam masa sama, kami turut berbangga dapat bekerjasama dengan Petronas yang dilihat sebagai jenama yang menjadi ‘duta’ kepada Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan dan Komunikasi Strategik Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz mengakui berbangga apabila dipilih selaku ketua penaja bagi saingan MotoGP berkenaan.
Katanya, selaku ketua penaja bagi saingan MotoGP, Petronas akan dapat menarik lebih ramai penaja-penaja besar lain.
“Selaku ketua penaja, ia sebenarnya membuka peluang untuk kita membantu mewujudkan sports tourism di negara ini yang dilihat mampu menarik kunjungan pelancong,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!