Rusia ‘kalah’, Ukraine terus tangkis serangan
KIEV - Kempen pencerobohan dilancarkan ke atas Ukraine yang berlarutan selama sebulan pada minggu ini menyaksikan jumlah kematian luar biasa anggota tentera Rusia dan kemusnahan besar peralatan ketenteraan milik Moscow yang jelas memberi tamparan hebat kepada Kremlin.
Ketua Turus Am Ukraine menerusi kenyataan di Facebook mendakwa, jumlah sebenar korban tentera Rusia adalah jauh lebih tinggi daripada yang dianggarkan Amerika Syarikat (AS) setelah hampir 10,000 dilaporkan terbunuh.
Selain itu, data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa sekurang-kurangnya 925 orang awam terkorban manakala 1,496 cedera akibat krisis tersebut.
Rancangan Kremlin untuk ‘menakluki’ Ukraine mungkin berdepan jalan buntu dan gagal mencapai objektif asal Presiden Vladimir Putin akibat kehilangan sejumlah besar anggota tentera yang didakwa tidak mempunyai persediaan untuk bertempur terutamanya di bandar.
Pakar tentera mendakwa, pasukan barisan hadapan Moscow gagal mara sejak lebih seminggu lalu manakala angka kematian atau anggota yang cedera mencecah sehingga 1,000 orang sehari.
Media sosial di Kiev turut dibanjiri rakaman video kereta kebal milik Rusia yang musnah terbakar, konvoi terkandas selama beberapa minggu selain anggota tentera Rusia yang menyerah diri.
Malah ada yang berada dalam keadaan kelaparan sehingga sanggup mencuri ayam daripada petani tempatan yang turut mencalarkan imej Kremlin sebagai salah sebuah negara dengan angkatan ketenteraan paling kuat di dunia.
Moscow didakwa mahu menutup ‘kelemahan’ itu dengan memperhebatkan serangan ke atas infrastruktur awam dan sengaja menyasarkan penduduk Ukraine bagi menakut-nakutkan pihak lawan mereka.
Populasi di bandar utama yang dikepung menjadi mangsa bedilan ganas Rusia yang kononnya mahu menunjukkan ‘kehebatan’ mereka sedangkan hakikat sebenarnya mereka telah kalah sejak kempen ketenteraan tersebut bermula.
Tempoh dua minggu akan datang boleh menjadi situasi paling kritikal untuk menentukan sama ada matlamat asal Kremlin dapat dicapai atau tidak memandangkan kekuatan tentera mereka semakin merosot.
“Saya tidak fikir tentera Ukraine boleh mengusir musuh mereka. Tetapi, saya juga berasa tentera Rusia tidak akan dapat menawan lebih banyak kawasan di Kiev,” kata bekas anggota marin AS, Rob Lee yang kini menjadi felo kanan di Institut Penyelidikan Dasar Asing.
Penilaian oleh Institut Kajian Perang (ISW) pada Sabtu lalu turut mendakwa tentera Ukraine telah mengalahkan kempen awal Rusia dalam peperangan tersebut.
Konflik itu kini telah berada dalam kedudukan ‘buntu’.
Tetapi, ia mungkin berubah jika Rusia berjaya menawan bandar Mariupol yang dikepung sejak lebih tiga minggu lalu.
Menurut Lee, objektif utama ‘operasi khas’ Putin itu adalah untuk menguasai bandar kedua terbesar, Kharkiv dan ibu kota Kiev.
“Tiga minggu sudah berlalu, tentera Rusia masih belum mencapai mana-mana matlamat tersebut selain kurang pengalaman untuk bertempur dalam situasi peperangan sebenar.
“Mereka masih gagal mengepung seluruh bandar Kharkiv walaupun ia terletak berhampiran sempadan Moscow. Cubaan untuk menawan bandar pelabuhan Odessa juga digagalkan barisan pertahanan Ukraine di pintu masuk Mykolaiv,” ujarnya.
Jelasnya lagi, Rusia kini sedang berdepan ‘kerugian yang amat besar’ dan ia bukan perkara yang mudah untuk menggantikan ribuan anggota yang terkorban dalam tempoh singkat dengan mengerahkan pasukan baharu.
Kemaraan Moscow yang perlahan berpunca daripada ketidakcekapan dan kurang penyelarasan dikhuatiri meningkatkan risiko kematian lebih ramai orang awam sekali gus memburukkan lagi konflik tersebut jika ia berlarutan tanpa kesudahan. - Agensi
Info:
Jumlah peralatan ketenteraan Rusia yang didakwa musnah dalam pertempuran:
509 kereta kebal
1,556 pengangkut anggota berperisai (APC)
252 sistem artileri
80 sistem roket pelancar berganda
1,000 kenderaan pelbagai jenis
45 sistem perang antipesawat
99 pesawat
123 helikopter
35 pesawat tanpa pemandu (UAV) operasi dan taktikal
15 unit peralatan khas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!