Harimau Malaya mengaum di Kallang
SKUAD Harimau Malaya menyingkap tirai kemenangan sulung dalam Siri Tiga Negara 2022 apabila menewaskan Filipina 2-0 di Stadium Nasional Singapura, Kallang, pada Rabu.
Kemenangan pada Aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1 itu, turut memberikan petanda positif buat skuad kendalian Kim Pan-gon itu untuk melakar kejayaan seterusnya apabila berdepan Singapura pada 26 Mac diikuti kelab Liga Singapura (Liga-S), Albirex Niigata FC pada 28 Mac di venue sama.
Anak buah Pan-gon bermula garang apabila mengasak ke kubu Filipina sebaik wisel permulaan menyaksikan Akhyar Rashid terlebih dulu meletakkan pasukan negara di depan seawal minit ketiga.
Gol tersebut ternyata menyemarakkan semangat para pemain negara apabila semakin kerap mengasak ke gawang The Azkals itu bagi melebarkan lagi jaringan.
Asakan-asakan berkenaan akhirnya membuahkan berhasil apabila Akhyar sekali lagi mencatatkan nama selaku penjaring menerusi gol kedua pada minit ke-24.
Akhyar kemudiannya hampir mencatatkan hatrik pada masa kecederaan babak pertama, namun setelah berjaya melepasi kawalan pertahanan Filipina, rembatan leretnya gagal menepati sasaran.
Pada babak kedua anak buah Pan-gon menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan, namun berjaya dikekang benteng pertahanan Filipina.
Bagaimanapun Akhyar kemudiannya terpaksa dikeluarkan pada awal babak kedua selepas mengalami kecederaan akibat diasak pemain Filipina pada minit ke-52.
Filipina mendapat peluang untuk merapatkan jurang pada minit ke-62, namun rembatan Patrick Rechelt diselamatkan penjaga gol negara, Farizal Marlias.
Di penghujung perlawanan, kedua-dua pasukan semakin hebat mengasak ke gawang lawan masing-masing, namun tiada sebarang jaringan tambahan dihasilkan hingga ke wisel penamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!