Sultan Perak, Permaisuri berangkat ke majlis tilawah, hafazan
IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina Meru di sini pada Rabu.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.
Majlis berlangsung selama tiga hari bermula Isnin lepas membabitkan penyertaan hampir 36 peserta.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan hadiah kepada johan tilawah al-Quran bagi kategori qari dan qariah iaitu Aiman Ridhwan Mohd Ramlan dan Nurul Syafiqah Nardi.
Masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000, pakej menunaikan haji bernilai RM10,000, sijil dan hadiah iringan.
Tempat kedua kategori qari dan qariah disandang Mohd Sahran Termizi dan Munirah Razali membawa pulang wang tunai RM7,000, sijil dan hadiah iringan.
Pemenang tempat ketiga bagi kategori sama disandang Mohd Kamaruzaman Daud dan Norhazira Nabila Mohamad Kamel masing-masing menerima wang tunai RM5,000 berserta sijil dan hadiah iringan.
Johan hafazan kategori 1-30 juzuk lelaki dan wanita tahun ini disandang Amril Syariff Ahmad dan Adibah Husni Ahmad Rozaini dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000, pakej menunaikan haji bernilai RM10,000, sijil serta hadiah iringan.
Johan hafazan kategori 1-20 juzuk pula menjadi milik pasangan adik-beradik Muhammad Adib Ahmad Rozaini dan Aqilah Sulhi Ahmad Rozaini yang menerima hadiah wang tunai RM6,000 berserta sijil dan hadiah iringan.
Sementara Mohamad Afnan Norhisyam dan Nurul Balqis Mohamad Badri menduduki johan bagi kategori 1-10 juzuk membawa pulang wang tunai RM4,000 beserta sijil dan hadiah iringan.
Kesemua johan tilawah qari dan qariah serta hafazan lelaki dan wanita akan mewakili negeri ke Tilawah al-Quran dan Hafazan Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung Jun depan di Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!