OKU hasrat kembangkan bisnes ikan pekasam

Mohd Alias menunjukkan produk ikan pekasamnya
Mohd Alias menunjukkan produk ikan pekasamnya
A
A
A

PORT DICKSON - Bermodalkan duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350, seorang usahawan yang juga orang kurang upaya (OKU) di Pekan Port Dickson di sini mengusahakan produk ikan pekasam.

Mula berniaga dari rumah ke rumah, kini Mohd Alias Abu Bakar, 31, mampu menyewa sebuah kedai Majlis Perbandaran Port Dickson tahun lalu.

Malah produk ikan pekasamnya dengan nama ‘Pekasam Alias Warisan Bonda’ kini mula dikenali ramai.

Menurutnya, terdapat 10 jenis ikan digunakan yang kebanyakannya spesies ikan sungai.

“Ikan digunakan antaranya lampam, tilapia, sepat dan puyu yang diolah mengikut resipi dipelajari daripada ibu saudara saya.

“Ikan-ikan ini saya beli segar di pasar sekitar Port Dickson dan yang paling mendapat permintaan ialah ikan gelama dan talang,” katanya kepada Sinar Harian.

Bercerita mengenai pembuatan ikan pekasam, Alias berkata, prosesnya tidak susah namun perlu teliti dan paling penting menjaga kebersihan supaya produk tahan lama.

Ujarnya, bahan asasnya ialah ikan, beras hancur, garam dan asam tetapi kaedah memproses pekasam perlu dilakukan secara berhati-hati.

Artikel Berkaitan:

“Saya buat ikan pekasam ini dengan emak yang mana peringkat pertama ikan disiang dengan dibuang perut dan dibersihkan sepenuhnya sebelum ditoskan air ikan serta dilumur dengan garam kasar yang kemudian diperap beberapa hari.

“Selepas melalui proses perapan, ikan sekali lagi akan dicuci bersih sebelum digaul pula dengan beras hancur yang digoreng,” katanya.

Produk ikan pekasam Mohd Alias
Produk ikan pekasam Mohd Alias

Mohd Alias yang merupakan OKU fizikal berkata, semua spesies ikan itu akan diasingkan dalam satu bekas yang dijual antara RM12 hingga RM15 sebekas.

Katanya, setiap bulan dia mampu menjual sehingga 100 bekas ikan pekasam dan turut bergantung kepada bekalan ikan yang diperoleh.

“Ikan pekasam ini sejenis lauk tradisional yang boleh dijadikan pembuka selera dan paling penting ia tahan lama.

“Buat masa ini sesiapa yang berminat untuk membeli boleh datang ke kedai saya di pekan Port Dickson atau melayari Facebook aliassekatacool & pekasam aliaz,” katanya.

Selain itu produk ikan pekasam keluaran Mohd Alias juga mendapat pengiktirafan sijil halal sekali gus menjadikan produknya lebih diyakini.

Dia juga mempelawa kepada sesiapa yang berhasrat menambah pendapatan dengan menjadi ejen.

“Alhamdulillah, sejak mendapat pensijilan halal, perniagaan saya nampak semakin maju dan jualan pun ada peningkatan mungkin orang lebih yakin dengan produk yang saya jual.

“Bukan mudah untuk saya mencapai tahap ini sekarang kerana sebelum ini saya akan menaiki bas berulang alik ke Seremban untuk menjual ikan pekasam,” katanya.

Dia yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia juga bersyukur kerana mendapat bantuan perniagaan daripada Majlis Amanah Rakyat dan JKM.

Malah menjadi harapan untuk produknya ditempatkan di kedai sejuk beku di seluruh Negeri Sembilan.

“Saya mempunyai impian tinggi untuk maju dalam perniagaan yang saya usahakan sejak dua tahun lalu.

“Bukan mudah untuk saya bangkit selepas lama terlantar sakit akibat kemalangan teruk dahulu, namun saya yakin usaha ini akan berjaya jika saya memberanikan diri hadapi dugaan dunia perniagaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!