MFL teliti kriteria pemilik baharu Perak FC

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) akan meneliti beberapa kriteria terlebih dahulu sebelum memberi pandangan mengenai pengambilalihan Perak FC oleh entiti baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, penetapan kriteria itu sangat penting bagi mengelakkan situasi sama akan berulang kepada pasukan seladang itu.

“Sebelum kami memahami penuh pengambilalihan Perak oleh entiti baharu, beberapa kriteria akan kami lihat terlebih dahulu termasuk pemilik baharu perlu mengemukakan perancangan pemulihan kelab kepada pihak MFL.

“Selain itu pemilik baharu juga perlu sertakan bukti sumber dana yang dimiliki, latar belakang pemilik atau syarikat, rekod prestasi mereka, dan jaminan untuk melangsaikan segala hutang dan menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit," katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Rabu.

Terdahulu Perak FC dalam satu kenyataan memaklumkan, kelab tersebut akan bertukar pemilik apabila diumumkan bakal dijual kepada pihak lain dalam masa terdekat.

Bagaimanapun katanya, proses berkenaan masih tertakluk kepada cadangan pengendali Liga Malaysia (Liga-M) yang akan dimaklumkan dengan sewajarnya mengenai tawaran terbabit.

Dalam pada itu, Stuart mengesahkan pihaknya masih belum menerima apa-apa dokumen (setakat tengah hari Rabu) berkenaan pengambilalihan kelab itu yang sepatutnya diserahkan pada Selasa.

“MFL sudah meminta Perak FC untuk menyerahkan segala dokumen berkaitan pengambilalihan kelab itu pada minggu lepas. Bagaimanapun atas beberapa kekangan Perak FC menyatakan komitmen untuk menghantar dokumen itu semalam, namun pihak kami masih belum menerimanya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ketika mengenai hukuman yang akan dikenakan atas kelewatan penghantaran dokumen itu, Stuart menjelaskan, perkara masih dalam perbincangan kerana ia melibatkan pelbagai pihak.

“Perkara tersebut (hukuman) masih dalam perbincangan. Sebab kita perlu ambil kira pihak lain yang terlibat termasuklah pemain jurulatih kerana mereka adalah keutamaan kami,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!