Madeleine Albright meninggal dunia akibat kanser
WASHINGTON - Bekas Setiausaha Negara wanita pertama Amerika Syarikat, Madeleine Albright meninggal dunia pada usia 84 tahun akibat kanser.
Berita pemergiannya disahkan jurucakap pejabat kerajaan dalam satu kenyataan.
Albright, yang juga seorang pelarian dari Czechoslovakia, menjadi pegawai diplomat tertinggi Amerika Syarikat semasa pentadbiran Bill Clinton pada tahun 1997 sehingga 2001.
Sebelum itu, Albright bertugas sebagai duta Amerika Syarikat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1993 sehingga 1997.
Mendiang terlibat dalam dua krisis dasar luar negara pada tahun 1990-an Amerika Syarikat iaitu genosid di Rwanda dan Bosnia-Herzegovina.
"Mendiang meninggalkan kesan yang mendalam kepada jabatan ini dan kami masih merasakannya sehingga hari ini," kata jurucakap pejabat kerajaan, Ned Price.
Antara pemimpin pertama yang mengucapkan takziah atas pemergian beliau adalah Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg
Stoltenberg menyifatkan mendiang sebagai 'kuasa kemerdekaan' dan 'juara NATO'.
Mendiang dilahirkan sebagai Marie Jana Korbelova di Prague pada tahun 1937, anak seorang pegawai diplomat Czechoslavakia.
Keluarganya terpaksa melarikan diri selepas pihak Nazi menguasai negara itu pada 1939.
Mendiang kemudian berpindah ke Amerika Syarikat pada tahun 1948 dan menjadi rakyat Amerika Syarikat yang sah pada tahun 1957.
Albright mula bekerja di White House di bawah pentadbiran Jimmy Carter dan kemudian dilantik sebagai penasihat dasar luar negara kepada beberapa calon presiden dan naib presiden.
Selepas Bill Clinton menjadi presiden pada 1993, Albright dilantik sebagai duta kepada PBB.
Pada tahun 2012, Albright menerima anugerah Presidential Medal of Freedom, anugerah tertinggi yang diberi kepada orang awam sebagai penghormatan atas usahanya untuk negara Balkan. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!