Kerajaan gagal pertahan Subseksyen Sosma

Laporan Sinar Harian pada Rabu
Laporan Sinar Harian pada Rabu
A
A
A

USUL kerajaan bagi melanjutkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) berkenaan tahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan gagal mendapat undi belah bahagi di Dewan Rakyat pada Rabu.

Usul yang dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah dibahaskan oleh 19 ahli Parlimen yang mengambil bahagian.

Kegagalan kerajaan ini juga mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya blok pembangkang menang dalam penentuan undi belah bahagi.

Melalui undi yang dijalankan, hanya 84 ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju, manakala seramai 50 orang lagi tidak hadir.

Dalam hal ini, subseksyen yang membenarkan suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret tidak lagi akan berkuat kuasa selepas ia luput pada 31 Julai 2022.

Dalam pada itu, timbul persoalan adakah tindakan barisan pembangkang yang menolak usul kerajaan dalam Dewan Rakyat akan memberi kesan terhadap perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mendakwa, MoU yang dimeterai antara kerajaan dengan parti pembangkang terbatal susulan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang meminta undi belah bahagi dilaksanakan di Dewan Rakyat.

Ujarnya, berdasarkan Perkara 3.3(b) dalam MoU menyatakan bahawa PH bersetuju akan mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam sebarang usul yang dikemukakan oleh kerajaan, bermakna mereka berjanji tidak akan menolak usul kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Namun pada Rabu, PH telah melanggar MoU tersebut dengan secara mengejut meminta undi belah bahagi bagi usul lanjutan pelaksanaan Subseksyen Sosma di mana PH telah mengundi menolak usul tersebut.

Justeru katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini bebas untuk membatalkan atau menggantung pelaksanaan MoU berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menegaskan bahawa tindakan ahli pembangkang menolak usul kerajaan berhubung Subseksyen Sosma itu tidak mendatangkan kesan sama sekali kepada MoU.

Ini kerana, jelasnya, usul berkenaan bukan sebahagian daripada intipati MoU yang dimeterai pada September 2021.

Seperti diduga, keputusan yang tidak memihak kepada kerajaan itu mendapat reaksi dan persepsi pelbagai pihak.

Antaranya, Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menzahirkan kebimbangan kegagalan melanjutkan tempoh pelaksanaan Sosma berisiko mendedahkan negara terhadap ancaman keselamatan yang lebih besar.

Katanya, setiap negara mempunyai undang-undang keselamatan sendiri dan beliau turut mendakwa wakil rakyat tidak menitikberatkan keselamatan negara.

Sosma digubal untuk membendung aktiviti seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan negara, apatah lagi dunia hari ini berhadapan dengan ancaman baharu yang merentas sempadan.

Bagaimanapun, undang-undang kontroversi itu disifatkan zalim oleh segelintir pihak yang beranggapan ia tidak selari dengan piawaian antarabangsa hak asasi manusia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!