Mayat lelaki jatuh bot ditemukan lemas
KUALA KEDAH - Seorang lelaki dipercayai terjatuh dari bot yang dilabuhkan berhampiran pelantar ikan, Kampung Ulu Kuala Kedah, dekat sini pada Rabu ditemukan lemas pada Khamis.
Pemangku Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Azhar Mohamad berkata, Pusat Kawalan Bomba (PKB) melaporkan mayat lelaki berusia 43 tahun ditemui nelayan yang sedang turun ke laut kira-kira jam 5.09 pagi.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi dilakukan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja tamat sepenuhnya pada jam 6.01 pagi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, seorang lelaki dikhuatiri lemas di pelantar ikan, Kampung Ulu Kuala Kedah, dekat sini selepas dipercayai terjatuh dari bot yang dilabuhkan berhampiran pelantar pada jam 6.21 petang Rabu.
Satu pasukan penyelamat dihantar ke lokasi selepas Pusat Gerakan Operasi JBPM Kedah menerima panggilan dari BBP Jalan Raja memaklumkan kejadian tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!