'Harap lebih ramai dapat tunai haji'
KUALA LUMPUR - Kerajaan berharap lebih ramai umat Islam di Malaysia dapat menunaikan ibadat umrah dan haji pada tahun ini dan masa akan datang susulan penarikan sekatan berkaitan Covid-19 yang diumumkan kerajaan Arab Saudi, baru-baru ini.
Sambil menyambut baik pengumuman tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata Malaysia terutama pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi untuk melakukan terbaik demi keselamatan dan kesihatan jemaah umrah dan haji.
"Kerajaan Arab Saudi tentunya telah menilai pelbagai aspek dan semua protokol kesihatan sejak wabak Covid-19 melanda dunia dua tahun lalu sebelum menarik balik sekatan tersebut, sejajar dengan situasi pandemik yang bertambah baik di negara itu.
"Pada masa yang sama, kerajaan Arab Saudi pastinya telah membuat persiapan rapi berpandukan amalan terbaik pengendalian antarabangsa demi menjaga keselamatan rakyatnya dan jemaah umrah serta haji yang datang dari seluruh pelosok dunia,” katanya dalam kenyataan.
Pada Rabu, Bernama melaporkan Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengumumkan pemansuhan semua sekatan Covid-19, termasuk kuarantin wajib bagi semua pengunjung ke negara itu.
Menerusi catatan di akaun Twitter rasminya pada Isnin, sekatan yang dimansuhkan termasuk penyerahan sijil vaksinasi Covid-19 dan ujian tindak balas berantai polimerase masa nyata (PCR), sebelum atau semasa ketibaan di Arab Saudi.
Langkah itu diambil susulan penurunan kes dan kadar vaksinasi mencapai 99 peratus untuk semua penduduk berumur 12 tahun ke atas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!